Serangan di Doha: Tiada rakyat Malaysia terjejas, kedutaan nasihat jauhi lokasi kejadian

DOHA - Kedutaan Besar Malaysia di Doha mengesahkan tiada rakyat negara ini dilaporkan terkesan susulan serangan udara Israel yang menyasarkan pejabat pemimpin Hamas di kawasan Legtaifiya pada Selasa.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, semua rakyat Malaysia di Qatar dinasihatkan supaya terus berwaspada serta menjauhi lokasi kejadian bagi mengelak sebarang risiko.
“Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terkesan dalam serangan tersebut. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berjaga-jaga dan menjauhi kawasan kejadian,” jelas notis berkenaan.
Kedutaan turut menasihatkan rakyat Malaysia agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui sumber sahih yang dikeluarkan pihak berkuasa Qatar.
Dalam pada itu, kerajaan Qatar memberi jaminan keadaan keselamatan di negara itu terkawal sepenuhnya dan ruang udara tidak ditutup.
Bagi mereka yang memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Malaysia di Doha boleh dihubungi melalui emel mwdoha@kln.gov.my atau talian +974 4483 6463 pada waktu pejabat serta +974 3374 6733 selepas waktu pejabat.
Serangan pada Selasa itu berlaku apabila rejim Israel melancarkan serangan udara ke atas pejabat kepimpinan Hamas di kawasan Legtaifiya, Doha.
Letupan kuat menggegarkan kawasan kediaman berhampiran dan mencetuskan kebimbangan orang awam.
Media antarabangsa melaporkan serangan tersebut menyasarkan tokoh kanan Hamas yang dipercayai sedang mengadakan perbincangan berkaitan rundingan gencatan senjata.
Beberapa kematian dan kecederaan turut dilaporkan termasuk anggota keselamatan tempatan.
Tindakan Israel itu mencetuskan kecaman antarabangsa dengan Qatar menegaskan ia sebagai pencerobohan terhadap kedaulatan negara berkenaan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), United Kingdom dan Turki turut menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan tersebut.
Kejadian berprofil tinggi ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai kestabilan rantau Teluk serta risiko terhadap rundingan damai di Gaza.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

