Pas kecam serangan Israel di Qatar

SHAH ALAM - Pas mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Qatar yang jelas sebagai melanggar undang-undang antarabangsa serta kedaulatan sebuah negara berdaulat.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, serangan rejim Zionis itu adalah jenayah perang yang perlu ditangani oleh masyarakat antarabangsa.
"Pas menegaskan solidariti penuh bersama perjuangan rakyat Palestin dan gerakan Hamas yang terus mempertahankan tanah air mereka daripada genosid Zionis.
"Kezaliman Israel tidak akan memadamkan api perjuangan membebaskan bumi Palestin," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, Israel melancarkan serangan terhadap kepimpinan Hamas di Qatar, sekali gus memperluas tindakan ketenteraan rejim itu di seluruh Asia Barat hingga ke negara Teluk yang lama menjadi pangkalan politik kumpulan berkenaan.
Seorang pegawai Israel mengesahkan kepada Reuters bahawa serangan itu menyasarkan pemimpin Hamas di Qatar.
Menurut stesen televisyen Al Jazeera, yang memetik sumber Hamas, serangan terbabit turut mengenai perunding gencatan senjata Gaza.
Justeru, Abdul Hadi menyeru dunia Islam, negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan masyarakat antarabangsa supaya bersatu menekan Israel agar menghentikan serangan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak umat Islam di Malaysia memperkukuh doa dan sokongan kepada perjuangan Palestin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

