Lapar punca perompak larikan RM256,000 serah diri

Perompak berkenaan akhirnya berjaya diberkas. Foto Agensi
Perompak berkenaan akhirnya berjaya diberkas. Foto Agensi
A
A
A

KALIMANTAN TENGAH – Hasrat dua lelaki untuk terus bersembunyi di hutan selepas merompak wang tunai sebanyak 1 bilion rupiah (RM256,000) berakhir 'ditangan' polis apabila mereka terpaksa menyerah diri akibat tidak tahan lapar.

Kejadian berlaku di Delang, Lamandau, Kalimantan Tengah apabila kedua-dua suspek yang diburu polis hampir sebulan lalu berjaya ditahan penduduk sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Lamandau, AKBP Joko Handono berkata, kes tersebut menarik perhatian ramai kerana jumlah kerugian yang besar serta tindakan suspek melarikan diri ke hutan untuk mengelak dikesan.

“Dua suspek bersama barang bukti berjaya ditahan. Kes ini menjadi tular di media sosial kerana melibatkan kerugian sekitar RM256,000,” katanya dalam kenyataan di laman Instagram rasmi Polis Lamandau pada Sabtu lalu.

Kejadian rompakan itu berlaku pada 11 Ogos lalu di Pangkalan Bun, Kotawaringin Barat, apabila kedua-dua suspek memecahkan cermin sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih sebelum melarikan wang tunai bernilai 1 bilion rupiah (RM256,000).

Bagi mengelak ditangkap, mereka menyusup masuk ke hutan Lamandau dan bertahan hidup dengan memakan pisang serta ubi kayu yang ditanam penduduk sekitar. Namun, rasa lapar yang semakin mendesak akhirnya memaksa mereka keluar mencari makanan di kawasan kampung dan kebun.

“Mereka hanya mampu makan pisang dan ubi kayu milik penduduk. Tindakan itu akhirnya membawa kepada penahanan mereka,” jelas Joko.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk yang bertindak pantas menyalurkan maklumat berhubung keberadaan suspek.

“Kami berterima kasih kepada masyarakat kerana bekerjasama membantu mengesan serta menahan mereka yang ternyata bukan penduduk asal,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua suspek kini diserahkan bersama wang tunai pecahan 100,000 rupiah (RM25.60) kepada Polis Kotawaringin Barat untuk siasatan lanjut serta tindakan undang-undang.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!