Kisah SARA RM100, umpan dan mata kail

SARA RM100 memberi kesan domino terhadap ekonomi apabila sehingga kini, lebih 11.8 juta rakyat telah memanfaatkan bantuan itu dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM745.7 juta di seluruh negara sejak pengagihan bermula 31 Ogos lalu. Gambar hiasan Bernama
SARA RM100 memberi kesan domino terhadap ekonomi apabila sehingga kini, lebih 11.8 juta rakyat telah memanfaatkan bantuan itu dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM745.7 juta di seluruh negara sejak pengagihan bermula 31 Ogos lalu. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

“DAPAT RM100, anak dara saya buat modal untuk meniaga pencuci mulut kecil-kecilan sementara cuti semester ini.”

Itu perkongsian seorang wanita di sosial media tentang cara anaknya membelanjakan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 daripada kerajaan. Ia ternyata menarik perhatian penulis.

Dalam hantaran tersebut, wanita berkenaan memberitahu, dia hanya menaja kos pembelian bekas pembungkusan produk kek batik yang dibuat anaknya, sementara bahan-bahan lain dibeli sepenuhnya menggunakan SARA RM100.

Katanya, berbungkus-bungkus paket biskut, tin susu serta serbuk coklat dapat dibeli sebagai modal peniagaan yang dijalankan.

Hantaran tersebut turut menjadi tular dan mendapat pujian serta sokongan warga net, bahkan ada yang bermurah hati memberikan modal tambahan untuk anak wanita tersebut, difahamkan menggunakan wang SARA RM100 kerana tidak memerlukannya.

Situasi berkenaan memberi gambaran jelas bahawa SARA RM100 yang dilabel sebagai ‘dedak’ atau sekadar wang kecil, sebenarnya mampu menjadi titik mula kepada satu bentuk penggerak ekonomi mikro dalam keluarga.

Penulis percaya situasi tersebut juga hanya secebis kisah daripada ribuan lagi cerita di sebalik SARA RM100 yang menyaksikan kaunter pasar raya terus dipenuhi pengguna yang berbaris berbekalkan modal kad pengenalan masing-masing.

Ada yang melihatnya sebagai ‘umpan’, ada yang menganggapnya sebagai ‘mata kail’ dan ada juga yang menjadikannya sebagai ‘ikan’ untuk terus dimakan.

Hakikatnya, nikmat SARA RM100 bergantung kepada siapa yang menerima dan bagaimana ia dimanfaatkan.

Artikel Berkaitan:

Ketika ada yang mencebik bibir mengejek golongan yang tak sabar-sabar mahu menggunakan SARA RM100, ada keluarga yang memang sudah kering poket mahu berbelanja demi makanan atas meja. Ada juga yang sekadar mahu menambah keperluan dapur, merayakan kehendak anak-anak sejak sekian lama.

Tidak kurang juga yang memilih jalan kebajikan, berbelanja kemudian diberikan kepada golongan memerlukan seperti mana yang dilakukan oleh beberapa pempengaruh dan juga pemimpin politik termasuk rakyat biasa.

Realitinya, SARA RM100 adalah cerminan pelbagai realiti hidup rakyat Malaysia dan menyerlahkan lagi sikap peduli sesama kita.

Namun dalam tidak sedar, SARA RM100 sebenarnya memberi kesan domino terhadap ekonomi apabila sehingga kini, lebih 11.8 juta rakyat telah memanfaatkan bantuan itu dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM745.7 juta di seluruh negara sejak pengagihan bermula 31 Ogos lalu.

Pembelian produk barangan keluaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan khususnya, mampu meningkatkan permintaan dan produktiviti pengeluaran yang juga boleh memberi tempias ekonomi terhadap perusahaan desa.

Ini selari dengan analisa BIMB Securities Research dalam satu laporan khas bahawa bantuan tunai yang pada asalnya bersifat jangka pendek kini telah berubah menjadi satu bentuk ‘terapi jangka panjang’ dalam landskap sosioekonomi Malaysia.

Sehubungan itu, kerajaan dijangka terus mengekalkan dan menambah baik pemberian bantuan tunai kepada golongan yang memerlukan sebagai alat sokongan kepada permintaan domestik bagi tempoh separuh dekad akan datang di sebalik ketidaktentuan luaran.

Langkah tersebut dilihat penting bagi mengimbangi kesan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu serta memastikan pertumbuhan penggunaan domestik kekal berdaya tahan.

Bahasa mudahnya, berbelanjalah dengan SARA RM100 kerana sumbangan yang dianggap ‘kecil’ daripada kerajaan ini boleh menjadi sumbangan besar anda untuk memacu ekonomi negara.

Masih berbaki beberapa bulan untuk memanfaatkan sumbangan SARA RM100 sebelum tempoh berakhir pada 31 Disember depan.Rancanglah masa yang sesuai untuk membuat pembelian.

Jangan tunggu hingga saat-saat akhir kerana penulis pasti kita semua tak mahu lagi berdepan dengan episod huru-hara seperti hari pertama sistem penebusan bermula.

* Nurhidayah Hairom ialah wartawan Meja Nasional Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!