Dua beradik lemas: Bapa kanak-kanak dan seorang wanita ditahan selepas beri keterangan meragukan

Laporan Sinar harian pada Khamis.
Laporan Sinar harian pada Khamis.
A
A
A

PORT DICKSON - [DIKEMAS KINI] Bapa kepada dua kanak-kanak yang meninggal dunia akibat lemas selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor masuk ke Sungai Linggi  di Tanjung Agas di sini bersama seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun dan wanita berusia 41 tahun itu ditahan selepas didapati memberi keterangan yang meragukan berhubung kejadian terbabit.

“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk empat kes yang masih dikehendaki, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Ujian air kencing terhadap kedua-dua mereka didapati negatif, namun semakan ke atas kereta yang digunakan didapati merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang dalam satu laporan polis di Nusa Bestari, Johor pada tahun 2022,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-6472222 atau pegawai penyiasat Asisten Superintenden, Husairin Che Hussin di talian 012-965 4927 bagi membantu siasatan.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan dua beradik berusia enam dan lapan tahun lemas selepas kereta yang dinaiki bersama ibu bapanya terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Difahamkan ketika kejadian, kereta tersebut diparkir di tebing sungai dalam keadaan enjin dimatikan, sementara bapa mangsa keluar sebentar untuk merokok.

Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kenderaan dan lemas, manakala ibu mangsa yang turut berada dalam kereta sempat diselamatkan oleh orang awam

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!