Ka Siong perlu mohon maaf kepada KPT - Akmal

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong perlu memohon maaf kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung kenyataannya mengenai isu kemasukan seorang pelajar cemerlang ke universiti awam.
Ketuanya Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kenyataan awal yang dibuat Ka Siong menimbulkan persepsi seolah-olah sistem kemasukan universiti sedia ada rosak, sedangkan terdapat lebih ramai calon lain yang memperoleh merit lebih tinggi.
“Adik itu bukan tidak pandai, memang dia pandai. Tetapi ada lebih ramai pelajar kita yang sangat pandai dan layak berbanding adik ini.
“Meritnya 99.9 peratus tetapi hakikatnya ada lebih ramai pelajar yang dapat merit 100 peratus, manakala tempat di Universiti Malaya (UM) adalah terhad,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kenyataan beliau yang menuduh sistem rosak adalah tidak wajar kerana ia seolah-olah mencemarkan imej baik KPT dan penjawat awam yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka secara telus.
“Saya menganggap itu adalah satu tuduhan yang tidak patut dan mencemarkan nama baik kementerian.
“Kita (Pemuda UMNO) mendesak agar YB (Wee) menyatakan permohonan maaf kepada KPT kerana saya rasa para penjawat awam mereka telah melaksanakan tanggungjawab dengan sangat baik tanpa ada rasa prejudis kepada mana-mana golongan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, prinsip profesionalisme itu telah lama diterapkan kepada penjawat awam dalam menguruskan kemasukan pelajar ke universiti awam.
“Kalau malu nak minta maaf secara terbuka, YB jumpalah Menteri Pendidikan Tinggi dan mohon maaf,” tegasnya.
Terdahulu, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam mendakwa seorang pelajar cemerlang tidak menerima tawaran ke program pengajian perakaunan di UM walaupun memperoleh keputusan yang baik.
Bagaimanapun, penjelasan lanjut daripada KPT mendapati calon tersebut sebenarnya memiliki merit 99.9 peratus, namun persaingan sengit berlaku apabila terdapat lebih ramai pelajar memperoleh merit 100 peratus sedangkan kapasiti tempat adalah terhad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

