Rumah dijarah rakyat: Menteri Kewangan Indonesia tampil mohon maaf

Sri Mulyani.-Agensi
Sri Mulyani.-Agensi
A
A
A

JAKARTA – Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati akhirnya bersuara selepas kediaman peribadinya di Bintaro, Tangerang Selatan, menjadi sasaran penjarahan oleh sekumpulan perusuh pada awal pagi Ahad.

Menerusi hantaran di akaun Instagram peribadinya @smindrawati, Sri Mulyani menzahirkan rasa syukur atas simpati, kata-kata semangat serta sokongan moral yang diberikan kepadanya dalam menghadapi insiden tersebut.

Beliau mengakui bahawa membina Indonesia adalah perjuangan yang tidak mudah, penuh cabaran dan berisiko.

“Pendahulu bangsa juga telah melalui jalan yang sama. Politik adalah perjuangan bersama demi mencapai cita-cita luhur bangsa, yang harus dijalankan dengan etika serta moral yang mulia,” katanya, dipetik daripada Instagram beliau pada Isnin.

Menurutnya, sebagai penjawat awam beliau telah mengangkat sumpah untuk melaksanakan amanah berdasarkan Perlembagaan 1945 serta segala undang-undang.

“Ini bukan soal kepentingan peribadi atau selera individu. Undang-undang digubal melibatkan Kerajaan, DPR, DPD, serta penglibatan masyarakat secara terbuka dan telus,” jelasnya.

Sri Mulyani menegaskan bahawa sekiranya rakyat tidak bersetuju atau merasakan hak perlembagaan mereka dicabuli, semakan kehakiman boleh dilakukan di Mahkamah Perlembagaan (MK).

Jika berlaku penyimpangan dalam pelaksanaan undang-undang, kes boleh dibawa sehingga ke Mahkamah Agung.

“Itulah sistem demokrasi berperadaban Indonesia. Pasti ada kekurangan dan tidak sempurna. Tugas kita ialah memperbaikinya secara beradab, bukan dengan anarki, intimidasi atau penindasan,” tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kewangan itu turut menekankan bahawa amanah negara mesti dijalankan dengan penuh integriti, kejujuran, profesionalisme, ketelusan, akauntabiliti, serta bebas daripada amalan rasuah.

Beliau turut mengingatkan bahawa mendengar aspirasi rakyat adalah sebahagian daripada kepimpinan.

Sri Mulyani menyampaikan penghargaan kepada semua lapisan masyarakat – termasuk warganet, guru, pelajar, sehingga ke pengusaha – yang terus memberikan kritikan, pandangan dan bahkan sindiran.

“Begitu juga doa serta semangat untuk kami memperbaiki diri. Semua itu adalah sebahagian daripada proses membina Indonesia,” katanya.

Menutup pesannya, Sri Mulyani mengajak semua pihak menjaga dan membangunkan negara bersama-sama, bukan dengan cara merosakkan, membakar, menjarah, memfitnah, memecahbelahkan, menanam kebencian atau menyakiti hati rakyat.

“Kami memohon maaf kerana pasti banyak kekurangan. Bismillah, kami akan terus memperbaiki keadaan. Semoga ALLAH SWT memberkati dan melindungi Indonesia. Jangan pernah letih mencintai Indonesia,” tulis beliau.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!