OP PUU: 2,077 notis advokasi dikeluarkan

Anggota JSPT mengeluarkan notis advokasi kepada pemandu kenderaan.
Anggota JSPT mengeluarkan notis advokasi kepada pemandu kenderaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 2,077 notis advokasi dikeluarkan dengan empat kenderaan ditunda dalam pemeriksaan ke atas 2,784 kenderaan sempena Kempen Advokasi Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU) yang bermula sejak Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur melaksanakan Kempen OP PUU di sekitar beberapa jalan utama ibu kota.

“Tujuan kempen ini adalah mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan sebelum bermulanya OP PUU sebenar, dengan menyerahkan notis advokasi kepada mereka yang melakukan kesalahan kecil tanpa dikenakan saman.

“Sehingga semalam (Isnin), sebanyak 2,077 notis advokasi, 24 notis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 126 notis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikeluarkan, manakala empat kenderaan ditunda dan 2,784 kenderaan diperiksa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, tindakan advokasi OP Didik turut diadakan bagi mendidik pelajar sekolah yang menunggang motosikal atau memandu kenderaan.

“Sebanyak 18 notis advokasi dikeluarkan dengan 18 pelajar diperiksa dalam operasi tersebut,” katanya.

Fadil menjelaskan, advokasi OP PUU akan diteruskan sehingga ke satu tempoh yang akan ditetapkan sebelum tindakan saman diambil selepas tamat tempoh advokasi.

“Dalam kempen ini, pihak PDRM turut menerima kerjasama baik daripada DBKL dan JPJ,” ujarnya.

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!