Empat kenderaan kemalangan punca lebuh raya sesak hampir sejam

GEORGE TOWN - Lebuh raya utama yang menghubungkan bandar ke kawasan perindustrian Bayan Lepas sesak teruk selepas berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori dan tiga buah kereta di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Kampung Batu Uban pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.25 tengah hari itu, empat pemandu termasuk seorang lelaki berusia 40 tahun yang memandu lori Isuzu dilaporkan terselamat dengan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki.

Menurutnya, tiga lagi pemandu yang memandu Nissan Serena berusia 24 tahun, pemandu Perodua Alza (56 tahun) serta pemandu Proton Persona (65 tahun) tidak mengalami kecederaan.
"Orang awam yang berada di lokasi bertindak pantas membantu mangsa keluar dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak tiba pada jam 1.40 petang dan mendapati kemalangan melibatkan empat mangsa. Pemandu lori mengalami cedera ringan dan menerima rawatan awal daripada unit Insentif Rawatan Kecemasan (EMRS)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau menambah, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudiannya menjalankan kerja pembersihan sisa kemalangan bagi memastikan laluan selamat.
"Operasi tamat pada jam 2.24 petang selepas kawasan disahkan selamat sebelum kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," ujarnya.
Difahamkan, kejadian itu menyebabkan aliran trafik di lebuh raya berkenaan terganggu hampir sejam sebelum keadaan kembali terkawal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

