5 anggota polis jadi dalang utama sindiket curi kabel

Hussein (dua dari kiri) menunjukkan alat pemotong kabel digunakan oleh kumpulan sindiket yang bergiat aktif mencuri barangan milik TM dan TNB itu di sekitar Kuala Lumpur serta Selangor. Foto: HISYAMUDDIN AYUB.
Hussein (dua dari kiri) menunjukkan alat pemotong kabel digunakan oleh kumpulan sindiket yang bergiat aktif mencuri barangan milik TM dan TNB itu di sekitar Kuala Lumpur serta Selangor. Foto: HISYAMUDDIN AYUB.
A
A
A

SEPANG – Lima anggota polis yang dipercayai menjadi dalang utama dalam membekalkan maklumat bagi melancarkan kegiatan mencuri kabel oleh satu sindiket aktif di Kuala Lumpur dan Selangor telah ditahan bersama 11 individu lain.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kelima-lima anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur dan Selangor itu direman sehingga Selasa, selepas ditahan menerusi tangkapan susulan pada 22 Mei antara jam 7 hingga 9 malam di Cheras dan Kajang, dekat sini.

Beliau berkata, dua daripada anggota polis yang terlibat berpangkat Sarjan, manakala tiga lagi berpangkat Koperal.

“Selain lima penjawat awam ini, sindiket tersebut turut mendapat ‘kerjasama’ daripada orang dalam, iaitu masing-masing seorang pegawai teknikal dan seorang pengawal keselamatan daripada sebuah syarikat yang dilantik oleh Telekom Malaysia (TM).

“Kumpulan sindiket ini mendapat tunjuk ajar daripada dua kakitangan berkenaan bagi memotong kabel dan mengelakkan siren amaran daripada berbunyi,” katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Beliau menjelaskan bahawa sindiket tersebut, yang dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu, dikendalikan oleh dua perancang utama.

Menurutnya, kedua-dua individu itu masing-masing mempunyai 36 dan 29 rekod kes jenayah termasuk kes berkaitan dadah.

Hussein (depan) menunjukkan sebahagian kabel yang dicuri kumpulan sindiket yang bergiat aktif di sekitar Kuala Lumpur serta Selangor. Foto: HISYAMUDDIN AYUB.
Hussein (depan) menunjukkan sebahagian kabel yang dicuri kumpulan sindiket yang bergiat aktif di sekitar Kuala Lumpur serta Selangor. Foto: HISYAMUDDIN AYUB.

Hasil siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan telah melakukan 23 transaksi penjualan kabel curi di beberapa kedai barang lusuh sekitar Semenyih.

Artikel Berkaitan:

“Kita percaya sindiket ini telah terlibat dalam lebih daripada 23 kes kecurian.

“Anggaran hasil jualan kabel curi yang diperoleh sindiket ini mencecah RM682,183,” ujarnya.

Hussein turut mendedahkan bahawa kes kecurian membabitkan kabel milik Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Lumpur dan Selangor menyumbang satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kes di seluruh negara.

Menurut beliau, statistik kecurian kabel di kedua-dua negeri tersebut mencatatkan 208 kes bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!