[VIDEO] Dua lelaki Iran mengaku tidak bersalah curi wang pelancong asing
GEORGE TOWN - Dua lelaki warga Iran mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencuri wang pelancong asing di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini pada Rabu.
Tarfi Ghader, 33, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi setelah pertuduhan dibacakan di dalam bahasa Parsi oleh jurubahasa di Mahkamah Majistret 3.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri wang tunai bernilai RM400 milik seorang pelancong asing, Ravasi Gianmarco di sebuah kedai serbaneka di Jalan Penang pada jam 9.40 malam, 1 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, Tarfi didakwa mencuri wang milik seorang pelancong asing bernilai AS$260 di Gurney Drive di sini pada jam 7.45 malam, 31 Julai lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala tertuduh diwakili R Thandayuthabany Pillay.
Sementara itu, di mahkamah sama, Tarfi bersama empat rakannya yang juga warga Iran termasuk dua wanita mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersama memiliki dadah jenis kanabis di sebuah rumah pada 3 Ogos lalu.
Kesemua tertuduh termasuk Tarfi, Fazeli Payam, 33; Dinarvand Siavash, 28; Zahra Hasani, 30 dan Sara Ghiyas, 19 mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memiliki kanabis seberat 5 gram di sebuah apartment di Batu Ferringhi pada jam 12.30 tengah malam, 3 Ogos lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 6 akta sama dan baca sama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, Tarfi, Fazeli dan Zahra didakwa telah tinggal di negara ini melebihi tempoh pas lawatan dikeluarkan yang sah laku sehingga 13 November 2024 tanpa sebab munasabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pintu masuk Gurney Plaza pada jam 8 malam, 2 Ogos lalu.
Mereka dituduh telah melanggar peruntukan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(46) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga mereka boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara lima tahun maksimum atau kedua-duanya.
Tiada jaminan ditawarkan oleh Ahmad Danial terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan.
Nadratun kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh dan menangguhkan kes sehingga 9 Oktober untuk serahan dokumen.
Di Mahkamah Majistret 2 pula, Dinarvand mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri RM1,000 daripada seorang pelancong asing, Deleh Ahmad di sebuah premis dalam sebuah pusat beli-belah di sini kira-kira jam 9.20 malam pada 30 Julai lalu.
Majistret Muhammad Amzar Ismail kemudian menetapkan 1 Oktober untuk sebutan semula kes sementara menunggu dokumen dikemukakan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret 1, Dinarvand dan Sara masing-masing dituduh telah tinggal di negara ini melebihi tempoh pas lawatan yang dikeluarkan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.
Kes ditangguhkan sehingga 1 Oktober ini untuk serahan dokumen.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kesemua warga asing itu direman empat hari bagi membantu siasatan kes pukau yang menyasarkan pelancong asing di kawasan tumpuan di bandar raya George Town.
Kesemua warga Iran itu ditahan di sekitar Persiaran Gurney serta Pulau Tikus, antara jam 8 hingga 9 malam, 2 Ogos lalu.
Polis turut merampas dua kenderaan digunakan suspek serta menemukan sejumlah mata wang asing pelbagai negara yang dipercayai diperoleh mereka hasil kegiatan pukau.
Kelima-lima mereka termasuk suami isteri itu dipercayai ahli sindiket yang mempunyai kemahiran dalam mencuri wang.
Kesemua mereka dipercayai memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong.
Mereka dipercayai tiba di Pulau Pinang pada 27 Julai lalu serta menginap di sebuah inap desa di Batu Feringghi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

