Petros & Petronas: Siapa patut kuasai peranan Pengagregat?

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA – Tuntutan Sarawak agar Petroleum Sarawak Berhad (Petros) mengambil alih peranan Petronas sebagai pengagregat tunggal gas negara terus mencetuskan perdebatan hangat dalam industri minyak dan gas.

Penganalisis sektor tenaga, Jamil Ghani memberi amaran bahawa langkah itu bukan sahaja menimbulkan risiko kepada Petronas, malah boleh menggegarkan kestabilan fiskal dan kelangsungan sistem tenaga Malaysia yang selama ini berlandaskan struktur sedia ada.

Peranan pengagregat: kuasa yang besar

Menurut Jamil, peranan sebagai pengagregat bukan sekadar urusan jual beli, sebaliknya ia adalah fungsi utama yang menentukan hala tuju industri gas negara.

“Pengagregat membeli gas daripada pengeluar huluan sebelum menjualnya semula kepada pengguna hiliran. Dari situ, ia menetapkan berapa banyak gas yang akan digunakan untuk industri tempatan dan berapa banyak yang dieksport sebagai gas asli cecair (LNG),” katanya.

Katanya lagi, jika kuasa besar ini diserahkan kepada Petros, ia boleh memberi kesan langsung terhadap Petronas yang kini memikul komitmen eksport jangka panjang pada harga tetap.

“Petros mungkin memperoleh gas pada harga lebih murah di huluan lalu menjualnya semula di hiliran pada harga lebih tinggi. Situasi ini bakal mengakibatkan Petronas menanggung kerugian besar, apatah lagi apabila ia terikat dengan kontrak eksport antarabangsa,” jelasnya.

Kebimbangan terhadap Petronas

Bagi Jamil, risiko paling besar ialah apabila Petronas kehilangan keupayaan mengawal rantaian bekalan secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

“Tanpa kawalan ini, kelangsungan rantaian minyak dan gas negara boleh tergugat. Ia bukan sekadar soal keuntungan korporat, tetapi melibatkan kestabilan fiskal Malaysia kerana Petronas merupakan penyumbang hasil terbesar negara,” tegasnya.

Namun, beliau turut menekankan bahawa langkah Sarawak menuntut peranan ini tidak bermaksud Petros berniat menimbulkan masalah bekalan.

Malah jelasnya, negeri itu sudah pun mempunyai kepentingan dalam usaha sama LNG yang selari dengan Petronas.

“Risiko yang kita bimbang adalah ketidakpastian. Sistem ini sudah lama stabil, jadi perubahan mendadak boleh menggugat keyakinan industri,” tambah beliau.

Logik Sarawak: Mahu lebih untuk negeri sendiri

Dari sudut Sarawak, tuntutan ini berlandaskan fakta bahawa kira-kira 60 peratus daripada rizab gas negara ditemui berdekatan dengan negeri itu. Namun, hanya enam peratus digunakan untuk kegunaan domestik, manakala 94 peratus dieksport sebagai LNG.

No Image Caption

“Bagi pemimpin Sarawak, ketidakseimbangan ini mengekang hasrat pembangunan negeri. Tanpa kuasa dalam proses pengagregatan, kebimbangan mereka ialah Sarawak akan terus terpinggir daripada manfaat besar sumber sendiri,” ujar Jamil.

Melihat kepada tuntutan itu, Putrajaya dan Petronas sebelum ini sudahpun bersetuju menyalurkan 1.2 bilion kaki padu gas sehari untuk kegunaan Sarawak, iaitu hampir tiga kali ganda berbanding 450 juta kaki padu sebelum ini.

“Peruntukan tambahan ini mampu menyokong rancangan pembangunan Sarawak, selaras dengan hala tuju Gas Roadmap negeri tersebut,” katanya.

Risiko permintaan tidak menentu

Walaupun begitu, Jamil memberi peringatan bahawa permintaan sebenar industri dalam negeri masih belum jelas.

“Jika gas dialihkan tanpa permintaan nyata atau perjanjian jual beli konkrit, ia boleh membawa kepada lebihan bekalan yang tidak digunakan, sekaligus mengganggu eksport. Itu juga kerugian,” jelasnya.

Menuju jalan tengah

Sebagai solusi, Jamil mencadangkan kompromi antara kedua-dua pihak.

“Petros mungkin boleh menjadi pengagregat untuk kegunaan domestik, manakala Petronas kekal memegang peranan sebagai pengagregat eksport ke pasaran utama seperti Jepun, Korea, Taiwan dan China,” katanya.

Cadangan itu menurutnya dapat memastikan Sarawak mendapat lebih banyak sumber untuk pembangunan negeri, sambil menjamin kesinambungan Petronas sebagai pemain global.

Autonomi vs Kestabilan Negara

Akhirnya, isu ini bukan sekadar soal teknikal, tetapi melibatkan keseimbangan antara autonomi negeri dengan tanggungjawab nasional.

“Bagi Sarawak, ia simbol autonomi serta pulangan lebih adil daripada hasil bumi. Tetapi bagi Putrajaya, ini soal kestabilan fiskal dan survival Petronas sebagai tiang seri ekonomi negara,” katanya.

Namun Jamol optimis bahawa dengan rangka kerja undang-undang yang jelas serta pengurusan rantaian bekalan yang mampan, krisis ini boleh ditukar menjadi peluang.

“Jika diurus dengan baik, aspirasi negeri dan kestabilan negara boleh saling melengkapi, bukannya bertembung,” ujar beliau mengakhiri pandangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!