'Anak-anak jadi penguat semangat' - Mawar Rashid luah perjuangan sebagai ibu tunggal

WAJAHNYA masih seindah dulu, malah tampak kembali muda, seakan anak dara yang sedang menari di bawah sinar cahaya baharu.
Namun, di sebalik senyuman yang dilemparkan, tersimpan seribu rasa yang tidak terucap.
Mawar Rashid, atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, bukan sekadar seorang pelakon.
Dia juga seorang ibu tunggal kepada tiga permata hati Raden Muhammad, 6; Raden Seri Rosabella Cinta, 4, dan Raden Seri Riyanna Sayang, 2.
Tiga nama yang menjadi nadi hidupnya sejak melangkah masuk ke fasa kehidupan yang lebih mencabar, bergelut antara tanggungjawab dan kerjaya, antara hati yang luka dan wajah yang harus terus tersenyum di depan khalayak.
Maka tidak hairanlah, ketika perbualan kami menyentuh sisi peribadinya, Mawar seakan cuba melepaskan beban yang selama ini digenggam kemas.
Wanita berusia 30 tahun itu beberapa kali menahan sebak, namun empangan matanya tidak lagi mampu bertahan.
“Sebak? Banyak sebab... semua orang lalui banyak benda. Saya sebak bila fikir macam mana setiap hari saya berjuang untuk anak-anak.
“Anak-anak jadi penguat semangat. Saya cuba yang terbaik untuk fokus pada diri sendiri... cuba jadi sekuat yang mungkin,” ujarnya membuka bicara.

Kekuatan itu tidak datang sendirian, tetapi terbina daripada doa, kasih dan sokongan orang sekeliling. Keluarga, sahabat dan para pengikut di media sosial menjadi sistem sokongan membalut luka yang kadangkala masih basah.
“Sejujurnya bila baca komen positif, saya rasa dapat sokongan dari pengikut dan bersyukur.
“Saya rasa tidak akan berada di sini tanpa sistem sokongan yang kuat, dari keluarga, anak-anak dan kawan-kawan. Bagi saya, mereka semua sangat penting,” jelasnya.
Meskipun sukar, lebih-lebih lagi ada ketika perlu meninggalkan anak-anak dalam tempoh yang lama kerana terikat dengan komitmen kerja, Mawar melihat perjuangan perlu diteruskan.
Biarpun hati menanggung rasa berat, bekas finalis Dewi Remaja 2014/2015 itu tidak lupa meninggalkan pesan buat kaum Hawa lain di luar sana.
“Jangan lupa sayangi diri sendiri. Kadangkala kita banyak beri kasih sayang pada orang yang disayangi seperti anak, keluarga... sampaikan bila kita lihat cermin, rasa macam tidak kenal diri sendiri.
“Jadi, penting kita (wanita) bagi masa untuk diri sendiri, terutama kaum ibu. Macam untuk diri sendiri, saya rasa lebih gembira sekarang,” tuturnya sebak.
Sekadar info, Mawar mendirikan rumah tangga bersama Raf atau atau nama sebenarnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob pada 9 November 2017, namun, berpisah November 2023. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Set penggambaran
Saat emosi di rumah menggugah jiwa, dunia lakonan menjadi ruang Mawar untuk terus hidup, bukan sekadar mencari nafkah, tetapi juga menyalurkan sisi diri menerusi karya.
Dari drama penuh konflik Nikmat Hanya Sesaat bersama Fadlan Hazim, dia melangkah ke genre yang lebih gelap dan mendalam menerusi filem seram thriller Nar’sata: Sekutu Setan arahan Pierre Andre.

Menariknya, di sebalik tabiatnya yang mudah pitam melihat darah, Mawar menerima cabaran besar dalam filem ini.
“Sejujurnya saya jenis yang mudah pitam bila nampak darah, ketika Pierre tunjuk rujukan babak dan emosi bagaimana yang dia mahukan, saya rasa nak muntah.
“Kerja dengan Pierre sangat mudah dan selesa kerana dia bagi input dan roh kepada watak itu. Dalam masa sama, saya teruja untuk bekerjasama dengan pelakon lain yang terlibat dalam filem ini,” jelasnya.
Selain Mawar, filem itu turut dibintangi Trisha Ooi, Fadlan Hazim, Khenobu, Dai Fuad, Imranul Effendy, Aniq Suhair, Khatijah Tan, Namron, Wan Hanafi Su, Ashraf Muslim dan Vanidah Imran.
Filem terbitan Metrowealth International Group (MIG) akan memulakan penggambaran pada 20 Mei di sekitar Lembah Klang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


