Kerajaan Selangor nafi dakwaan sekolah agama rakyat ditutup

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Selangor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya lebih 200 sekolah agama rakyat di negeri ini diarahkan keluar dari premis perniagaan sehingga menjejaskan kira-kira 40,000 pelajar.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah menegaskan tuduhan berkenaan adalah fitnah, berniat jahat dan hanya mengitar semula rakaman video lama sejak 2023.
“Tidak ada sebarang usaha daripada pihak kerajaan negeri untuk menutup mana-mana sekolah agama di Selangor.
“Sebaliknya, kami sedang meneliti keperluan garis panduan baharu bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan murid dan guru di sekolah-sekolah agama negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata, aduan rasmi sudah dibuat kepada Kementerian Komunikasi bagi menyiasat akaun TikTok yang menyebarkan rakaman berkenaan.
Sebelum ini, Gabungan NGO Islam Selangor dalam satu sidang media mendakwa lebih 200 sekolah agama rakyat di Selangor menerima surat amaran untuk keluar daripada premis perniagaan dan dipaksa membayar saman, sekali gus menjejaskan 40,000 pelajar Islam.
NGO itu juga mengaitkan isu berkenaan dengan seorang menteri DAP di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

