Perak bentang RUU Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 pada Selasa.
Usul RUU tersebut dikemukakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk bacaan kali pertama dan kedua yang kemudiannya disokong oleh Dr Mohamad Yusri Bakir (Ayer Kuning-BN).
Saarani berkata, RUU itu sebagai langkah penting bagi menggantikan peruntukan undang-undang sedia ada iaitu Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 yang tidak pernah dipinda sejak lebih dua dekad.
"Justeru, pindaan ini menjadi suatu keperluan mendesak agar kerajaan merangka dan melaksanakan peruntukan-peruntukan baharu yang lebih komprehensif, supaya undang-undang sedia ada dapat diselaraskan dengan cabaran pendidikan masa kini demi memastikan sekolah-sekolah agama Islam terus relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi aspirasi ummah.
"Enakmen baharu ini memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk memperkasa, menyelaras dan memperkemas pentadbiran institusi pendidikan agama Islam di Perak, agar lebih teratur, berkesan dan mampu memenuhi cabaran zaman," katanya ketika berucap membentangkan usul tersebut.
Beliau berkata, cadangan RUU itu telah melalui proses penelitian rapi dan diperhalusi dalam beberapa siri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Penggubalan seterusnya dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang Syariah Negeri Perak sebelum dibentangkan serta diluluskan dalam Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada 6 Ogos 2025 juga telah meluluskan RUU berkenaan bagi membolehkan ia dibentang untuk dibahas dan diluluskan oleh DUN Perak.
Menurutnya, dalam RUU yang mengandungi lapan bahagian dan 30 fasal itu, beberapa pindaan dan penambahbaikan telah dibuat berbanding Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 sedia ada.
Jelas Saarani, antara yang terkandung dalam RUU tersebut, mana-mana individu yang ingin membuka sekolah hendaklah membuat permohonan penubuhan terlebih dahulu seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 6 iaitu Penubuhan bagi memastikan kewujudan sekolah lebih terkawal.
"Penambahbaikan juga dicadangkan dalam Fasal 8 dengan memasukkan kelayakan ahli Jemaah Pengurusan Sekolah dan ketetapan bahawa sumber kewangan sekolah mestilah diperoleh secara sah menurut undang-undang.
"Cadangan penggubalan RUU ini turut menyebabkan pindaan kepada peruntukan undang-undang lain yang bersifat sampingan atau consequential, khususnya seksyen 109 dan subseksyen 111(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004," katanya.
Saarani berkata, RUU tersebut bukan sekadar pindaan perundangan tetapi satu ikhtiar besar untuk memastikan sekolah-sekolah agama Islam terus terpelihara, terurus dengan baik dan berperanan sebagai medan melahirkan generasi berilmu, beriman serta berakhlak mulia.
Sejurus dibentangkan, RUU berkenaan dibahaskan oleh seramai 15 orang ADUN terdiri daripada lima wakil kerajaan dan 10 lagi daripada blok pembangkang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

