Olok-olok seperti betul-betul

Orang ramai berhimpun di Kuala Lumpur dalam perhimpunan 'Turun Anwar' pada 26 Julai lalu.
Orang ramai berhimpun di Kuala Lumpur dalam perhimpunan 'Turun Anwar' pada 26 Julai lalu.
A
A
A

SEORANG dramatis utara pernah berkata: “Banyak sekali perlakuan olok-olok yang kelihatan macam betul-betul.”

Agak lama kemudian, dramatis itu iaitu Sharif SS mengulanginya dengan mengemukakan contoh. Dia bercakap tentang parti politik. Katanya, ahli jawatankuasa cawangan menyatakan permusuhannya dengan pembesar negeri. Kemudian ditunjukkannya gambar yang tersiar di akhbar. Ahli jawatankuasa tersebut tunduk hormat kepada pemimpin yang dikecamnya.

Penulis berkata: “Memang, minggu lepas AJK itu memaki hamun ketuanya. Semalam mereka bersua dan dia tunduk hormat kepada ketuanya itu. Itu biasalah. Cuma, saya nak tanya, adakah dia berolok-olok semasa dia maki hamun, atau semasa dia tunduk hormat?”

“Kedua-duanya.” jawab Sharif tersenyum.

Penulis mengangguk-angguk dan ketawa sedikit. Benar, ahli politik sering berubah-ubah. Penulis sendiri pun tahu tentang seorang pemimpin politik bertukar arah. Dalam pertemuan di rumahnya, ahli politik itu berkata kepada penulis dan beberapa hadirin lain, “Jalan yang betul hanya satu, kita tidak boleh membelok ke kiri atau ke kanan.”

Dia juga berpesan, “Jangan ikut orang yang tidak memperjuangkan Islam.”

Kira-kira setahun kemudian, tokoh itu berbaik-baik dengan parti politik yang berideologi sosialis. Ahli parti itu sebahagian besarnya bukan Islam. Penulis baca ajaran baharunya yang tersiar di sana sini dengan rapi dan teliti. Begini pula pandangannya: “Elok kita berbaik-baik dengan pemimpin bukan Islam kerana kita perlu mencari jalan sepakat, demi menjaga keharmonian negara.”

Penulis bertanya kepada Sharif, adakah pandangan pertama atau pandangan kedua tokoh itu merupakan pandangan olok-olok? Sharif menjawab: “Kedua-duanya adalah olok-olok.”

Dalam bicara ini, penulis sebenarnya mahu mencadangkan sikap yang wajar bagi rakyat Malaysia ketika menghadapi kepelbagaian tingkah politik. Perkara ‘olok-olok seperti betul-betul’ ini berlaku sepanjang zaman. Oleh itu, setiap rakyat hendaklah berpegang kepada Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Peristiwa terbaharu ialah perhimpunan di Kuala Lumpur. Jumlah kehadiran dianggarkan dan disebutkan mengikut sikap dan pandangan. Penulis yakin para wartawan tahu tentang jumlah sebenar atau jumlah yang hampir-hampir tepat. Tujuan mereka berkumpul dikatakan jelas oleh pihak yang menyukai perhimpunan itu tetapi pihak yang tidak menyukainya mengatakan samar.

Rakyat Malaysia perlu faham tentang perhimpunan. Isu yang konkrit perlu dibangkitkan untuk mengukuhkan penyuaraan. Dalam pengalaman negara kita, memang berkali-kali muncul masalah, namun masalah yang kita hadapi tidaklah terlalu berat. Jika kita mengikuti sejarah, kita dapati walaupun ada masalah, perubahan positif dalam negara sudah pun membanggakan. Tentang kehidupan rakyat, kita boleh menyebutkan wujudnya tahap kemewahan (walaupun tidak terlalu mewah).

Sejumlah orang amat sinis ketika mengulangi kata-kata pemimpin politik, “Hari ini kita memerintah, esok harga minyak turun.”

Sebenarnya janji pilihan raya mempunyai makna yang perlu ditafsirkan mengikut teori anjakan makna. Makna tidak hanya muncul di permukaan. Memadai kita bertanya kepada diri sendiri, berapakah harga yang dikatakan mahal dan berapa pula harga yang murah bagi suasana yang berubah-ubah?

Ada pelbagai kaedah ukuran untuk mengatakan seorang pemimpin gagal atau berjaya. Jalan mudah ialah kita memberi peluang agar setiap kelompok rakyat membuat penilaian mengikut keselesaan. Di samping itu, pemimpin juga jangan mengesali kritikan. Pembangkang memerlukan modal berhujah misalnya menyebutkan ‘payung bangsa’, ‘kehendak agama’ dan lain-lain.

Rakyat Malaysia seluruhnya hendaklah berusaha mencari ‘yang betul-betul’. Elakkan terpengaruh dengan saranan ‘yang olok-olok, tetapi nampak macam betul-betul’. Dalam kebanyakan peristiwa, kekeliruan antara yang betul-betul dengan olok-olok mungkin hal biasa. Perhatikan contoh ini: Datuk Hamid dengan Tan Sri Mahadi (nama-nama rekaan) berkawan baik dan selalu minum bersama-sama, tetapi dalam Parlimen mereka saling menengking. Tingkah laku mereka di Parlimen itu olok-olok.

Sebahagian rakyat melihat seperti adanya permusuhan yang betul-betul antara mereka. Itu pun masih bukan masalah. Yang jadi masalah berlakunya permusuhan antara penyokong Datuk Hamid dan penyokong Tan Sri Mahadi disebabkan masing-masing menjangka ketua-ketua mereka itu betul-betul bermusuhan.

Rakyat keliru kerana tingkah olok-olok ahli-ahli politik yang kelihatan macam betul-betul.

*Datuk Rahman Shaari ialah Sasterawan Negara

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!