Kestabilan dan prestasi kemenangan rakyat

MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kita sekali lagi disapa oleh naratif yang terasa begitu mesra. Parti mana paling membela bangsa, siapa paling perkasa perjuangkan agama dan siapa paling tulen membawa suara negeri.
Naratif sebegini sentiasa berulang dan kerap menguasai ruang wacana, seolah-olah masa depan negara hanya boleh ditentukan melalui pertandingan identiti.
Dalam hiruk-pikuk itu wajar kita bertanya dengan jujur, adakah persoalan-persoalan ini benar-benar menjawab kegelisahan hidup rakyat?
Hakikatnya, majoriti rakyat tidak bangun pagi memikirkan polemik politik. Mereka bangun memikirkan harga barang, yuran sekolah anak, bil elektrik, hutang rumah dan sama ada duit gaji masih berbaki di hujung bulan. Di ruang inilah 'politik sebenar' berlaku.
Sebab itu, kestabilan politik dan prestasi pentadbiran wajar difahami sebagai kemenangan paling nyata untuk rakyat.
Pengalaman pasca PRU15 memberikan pengajaran penting. Ketika negara melalui episod Parlimen tergantung dan pembentukan kerajaan gabungan yang mengumpulkan parti-parti pernah berseteru selama puluhan tahun, ramai menjangkakan ketidaktentuan panjang. Namun, negara perlahan-lahan menemui rentaknya. Pentadbiran berjalan. Dasar diteruskan. Ekonomi menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
Meskipun ia tidak sempurna, tetapi ia tetap bergerak. Dari situ, kita belajar kestabilan bukan lahir daripada keseragaman semata-mata, tetapi daripada kesediaan untuk berunding, bertolak ansur dan meletakkan kepentingan negara di hadapan ego politik.
Bagi rakyat kebanyakan, ukuran terhadap kerajaan jarang bersandar kepada siapa paling lantang di pentas ceramah atau paling tangkas di media sosial. Ukuran mereka lebih sederhana, tetapi jauh lebih jujur: Adakah hidup terasa lebih ringan, adakah masa depan nampak lebih jelas.
Apabila kerajaan berfungsi, politik identiti mula menjadi neutral dengan sendiri. Bukan kerana isu bangsa, agama atau wilayah tidak penting, tetapi kerana keutamaan rakyat kembali kepada perkara yang lebih mendesak kehidupan seharian, peluang pekerjaan misalnya, kos sara hidup, kemudahan awam dan keselamatan institusi keluarga.
Realiti ini jelas kelihatan menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini. Isu awam yang dibangkitkan banyak berkisar tentang jalan rosak, isu bekalan air dan elektrik, termasuk liputan internet. Tuntutan asas sebegini memerlukan kestabilan politik antara negeri dan Persekutuan yang membolehkan perancangan jangka panjang diteruskan tanpa terganggu.
Dalam soal kos sara hidup pula, kestabilan membuka ruang kepada keberanian membuat keputusan sukar. Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang memastikan subsidi RON95 hanya dinikmati oleh warganegara, telah menutup kebocoran besar yang sekian lama berlaku.
Begitu juga apabila kerajaan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion di bawah Belanjawan 2026, memberi manfaat kepada sekitar sembilan juta penerima.
Petanda keyakinan juga dapat dikesan dalam perkara kecil yang nampak mudah tapi sering terlepas pandang, di mana semakin ramai rakyat kembali berani merancang percutian, menyusun kewangan dan memikirkan hari esok. Ia bukanlah tanda kemewahan melampau, tetapi tanda bahawa keresahan rakyat sudah mula reda.
Dalam erti ini, kestabilan merupakan aset rakyat. Ia dividen yang tidak tertulis. Ia 'menaikkan lantai' dengan memastikan yang paling bawah tidak terus terhempas dan 'menaikkan siling' dengan membuka ruang kepada mereka yang mahu panjat lebih tinggi.
Anak muda hari ini juga berbicara tentang survival. Mereka mahu peluang untuk membina hidup tanpa perlu menjadi sebahagian daripada pekerja asing di negara orang.
Namun semua ini rapuh jika ruang awam terus dibanjiri dengan naratif tidak sihat, bahkan bersifat ekstrem. Jika majoriti sederhana memilih untuk diam, suara paling bising akan terus kelihatan seolah-olah mewakili semua. Sebab itu, tanggungjawab untuk mempertahankan rasionaliti, kesederhanaan dan kewarasan perlu digalas bersama.
Akhirnya, kemenangan sebenar bukan terletak pada siapa paling banyak memenangi kerusi, tetapi pada sejauh mana kehidupan rakyat menjadi lebih manusiawi. Kestabilan melahirkan prestasi. Prestasi melahirkan manfaat. Dan manfaat itulah yang, dalam diam sedang menyelamatkan sebuah negara.
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Putrajaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

