'Harimau belang betul-betul muncul depan kereta'

KOTA BHARU - Sebuah keluarga berdepan detik cemas dan tergamam apabila seekor harimau belang muncul di hadapan kereta mereka di Lojing di sini pada Selasa.
Haiwan liar terbabit dikatakan sedang melintas jalan dan muncul selama seminit sebelum masuk semula ke dalam hutan berhampiran.
Seorang peniaga, Abdul Hanif Che Ibrahim, 33, dari Tanah Merah berkata, kejadian tersebut berlaku berhampiran Sekolah Kebangsaan Pos Brooke semasa mereka dalam perjalanan ke Cameron Highlands.
"Kami menaiki dua buah kereta. Kebetulan kereta saya bersama tiga lagi ahli keluarga berada di hadapan.
"Keadaan jalan di sini berbukit, tiba-tiba muncul harimau dan kelihatan ia seperti terkejut sebelum masuk semula ke dalam hutan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurut dia, oleh kerana keadaan jalan sunyi sepi tanpa sebarang kehadiran kenderaan lain mereka sempat merekod kemunculan harimau tersebut.
Ujarnya, ini merupakan kali pertama mereka melihat haiwan terbabit muncul di depan mata.
Abdul Hanif memberitahu, semua ahli keluarganya tergamam dan masih menganggap ia seperti mimpi.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang aduan berkaitan perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

