[VIDEO] Sindiket guna peranti BTS sebar SMS palsu tumpas

A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram, Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) dalam operasi yang dijalankan baru-baru ini.

SKMM merekod keterangan individu yang ditahan untuk membantu siasatan kes sindiket penyebaran SMS. Foto SKMM
SKMM merekod keterangan individu yang ditahan untuk membantu siasatan kes sindiket penyebaran SMS. Foto SKMM

Operasi dikenali sebagai Op Pancing, hasil aduan awam dan risikan berjaya menahan seorang individu ketika mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan berhampiran pusat membeli-belah utama di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan Komunikasi Korporat SKMM, pemeriksaan menemukan kelengkapan komunikasi yang berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif.

“Ujian frekuensi mengesahkan peralatan tersebut bukan sahaja menghantar SMS mengandungi kandungan palsu dan pautan phishing, malah turut berunsur perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan terbabit,” katanya pada Sabtu.

Susulan tangkapan itu, SKMM dengan bantuan PDRM menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam, yang dijadikan tempat penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) serta kelengkapan komunikasi berkaitan Fake BTS.

Siasatan awal turut berjaya mengenal pasti modus operandi terbaharu sindiket, iaitu mengubah suai peralatan Fake BTS untuk beroperasi secara mudah alih.

“Secara keseluruhannya, 45 barangan telah disita dengan anggaran nilai RM100,000.

Artikel Berkaitan:

“Seorang individu turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut,” ujar SKMM.

Kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!