[VIDEO] Sindiket pasport palsu FOMEMA didalangi warga Bangladesh tumpas
PUTRAJAYA – Sindiket didalangi warga Bangladesh yang menawarkan perkhidmatan pasport palsu bagi tujuan pemeriksaan kesihatan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di Kuala Lumpur pada Selasa.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, lima lelaki warga Bangladesh berusia 19 hingga 41 tahun ditahan termasuk dua dipercayai dalang utama selepas dua kediaman yang dijadikan pusat operasi diserbu pada jam 9.40 pagi.
“Sindiket terbabit menawarkan pasport palsu pelbagai negara termasuk Bangladesh, India, Pakistan, Myanmar, Nepal dan Indonesia dengan caj antara RM150 hingga RM250 setiap dokumen,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Zakaria berkata, modus operandi sindiket ialah menggunakan ejen warga Bangladesh untuk mencari pelanggan yang memerlukan dokumen berkenaan, khususnya bagi tujuan pemeriksaan kesihatan FOMEMA.
“Sindiket yang beroperasi sejak tiga bulan lalu didapati menggunakan gambar ahli sindiket dan butiran warga asing lain yang melepasi pemeriksaan kesihatan FOMEMA,” katanya.
Dalam serbuan di dua lokasi berasingan sekitar Jalan Jelawat dan Jalan Razak Mansion, pihaknya turut merampas pelbagai pasport palsu, 11 telefon bimbit dan wang tunai RM2,100.

“Kita turut merampas kulit pasport pelbagai negara, kertas pelekat lutsinar, dakwat pelbagai warna, alat pemotong kertas serta sebuah kenderaan Perodua Aruz yang digunakan sindiket,” katanya.
Zakaria berkata, semakan awal mendapati tiga lelaki yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di bawah sektor pembinaan.
“Seorang lelaki pula memiliki pas pelajar, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini,” katanya.
Menurutnya, semua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 56(1)(i) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.
“Kita komited melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan tegas bagi membanteras apa juga aktiviti yang melanggar undang-undang agar keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
