Sindiket guna Facebook palsu menyamar NSRC

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan dua akaun Facebook yang menggunakan nama Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) palsu dan menyamar sebagai pihak berkuasa dengan tujuan memperdaya mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sindiket terbabit menggunakan nama NSRC untuk 'memancing' maklumat peribadi mangsa dan mendapatkan wang secara tidak sah.
"NSRC tidak mempunyai sebarang akaun media sosial termasuk Facebook, malah pusat itu berfungsi sebagai pusat panggilan yang hanya menerima aduan menerusi talian 997.
“NSRC beroperasi secara komunikasi sehala, iaitu hanya menerima panggilan daripada orang awam. Pusat ini tidak akan menghubungi individu melalui telefon atau menggunakan aplikasi pesanan seperti WhatsApp," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Rusdi berkata, sebarang panggilan atau mesej yang mendakwa daripada NSRC adalah penipuan semata-mata.
"Bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan atas talian, PDRM menggesa mangsa yang terlibat untuk segera menghubungi NSRC di talian 997 bagi melaporkan insiden yang berlaku.
“Sebaiknya, panggilan hendaklah dibuat dalam tempoh kurang 24 jam agar peluang untuk membuat sekatan terhadap wang yang telah dipindahkan adalah lebih tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
