Dakwa diarah bekerja, 27 pekerja kilang lapor polis


Pekerja kilang menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka di Jalan Beserah di sini petang semalam.
Pekerja kilang menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka di Jalan Beserah di sini petang semalam.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 27 orang pekerja sebuah kilang di kawasan Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP) Jalan Gebeng ByPass membuat laporan di balai polis Beserah di sini kerana diarah bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Wakilnya, Syed Abdul Rahman Syed Badiuzaman, 32, berkata, laporan itu dibuat bagi mendapatkan pembelaan serta pengesahan adakah mereka akan diberikan jaminan keselamatan sekiranya terus berada dalam persekitaran pekerjaan yang turut mempunyai warga China.

Menurutnya, terdapat juga pekerja warga asing yang diarahkan kuarantin di kilang itu tidak mengendahkan arahan berkenaan dan bergerak bebas dalam kawasan kilang serta asrama.

"Kami diberi pilihan sama ada cuti tanpa gaji di rumah atau bekerja dengan menginap di asrama kilang. Ketua beritahu ada elaun atau imbuhan RM600 bagi pekerja yang memilih untuk kerja dan menginap di asrama. Namun kalau memilih untuk tidak datang kerja, kena cuti tanpa gaji.

"Pihak kilang juga tidak membenarkan mana-mana pekerja cuti selama 14 hari seperti arahan pihak kerajaan.

"Dalam kawasan kilang juga ada warga China yang dikuarantin tapi mereka tidak mengikut arahan sebaliknya bebas bergerak dalam kilang. Ini yang membimbangkan kami," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Norkamawati Kamal berkata, pihaknya ada menerima laporan daripada pekerja terbabit dan sudah mendapatkan penjelasan daripada pengurusan kilang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya ada terima laporan daripada pekerja kilang malah bukan sahaja di MCKIP tapi kilang lain yang masih beroperasi.

"Tindakan telah diambil dengan membuat semakan namun kebenaran beroperasi tertakluk kepada permit dan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sekiranya mereka ada memohon dan mendapatkan permit, mereka boleh meneruskan operasi sepanjang tempoh ini dan bukan lagi di bawah bidang kuasa MPK," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan belum menerima sebarang laporan berkenaan majikan yang tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Setakat hari ini saya belum terima apa-apa laporan tapi jika ada kita akan siasat. Cuma kilang ini kita kena lihat mereka di bawah bidang kuasa siapa, kerajaan negeri atau Persekutuan," katanya ketika ditemui di Wisma Pahang di sini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan ketika ditemui Sinar Harian juga mengesahkan menerima laporan daripada beberapa pekerja kilang tersebut dan kes akan dirujuk kepada pihak yang berkaitan.