Lipas, lalat dan tikus ‘berpesta’ di dapur restoran

Pemeriksaan dijalankan susulan aduan orang awam berhubung isu minyak dan bau daripada saluran kumbahan di kawasan rumah kedai serta restoran di lokasi. Foto DBKL
Pemeriksaan dijalankan susulan aduan orang awam berhubung isu minyak dan bau daripada saluran kumbahan di kawasan rumah kedai serta restoran di lokasi. Foto DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua premis makanan di Jalan Kemuja, Bangsar diarah tutup selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan kebersihan dan perniagaan dalam satu operasi pemeriksaan kesihatan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pemeriksaan dijalankan susulan aduan orang awam berhubung isu minyak dan bau daripada saluran kumbahan di kawasan rumah kedai serta restoran di lokasi terbabit.

“Hasil pemeriksaan ke atas tiga premis mendapati satu premis berada dalam keadaan bersih dan memuaskan, manakala dua lagi didapati melakukan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tiada lesen perniagaan, tiada dokumen suntikan tifoid serta kursus pengendali makanan, alat perangkap minyak tidak diselenggara, keadaan lantai dan dinding dapur kotor serta pecah, selain kehadiran lipas, lalat dan tikus.

Alat perangkap minyak juga tidak diselenggara. Foto DBKL
Alat perangkap minyak juga tidak diselenggara. Foto DBKL

“Turut dikesan, pemilik meletakkan bahan makanan di atas lantai serta gagal menyelenggara cerobong asap,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, DBKL mengeluarkan empat kompaun terhadap kesalahan berkenaan, manakala dua premis terbabit diarah tutup.

Pada masa sama, pemilik dan wakil restoran turut diberi nasihat serta pendidikan kesihatan mengenai kepentingan kebersihan, keselamatan makanan serta penyelenggaraan perangkap minyak.

Artikel Berkaitan:

DBKL menegaskan, pemilik premis wajib mematuhi semua kehendak kesihatan yang ditetapkan dan pemeriksaan susulan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

“Aspek kebersihan dan keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama. Tindakan tegas akan terus diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana premis yang gagal mematuhi peraturan.

“Usaha ini adalah sebahagian komitmen berterusan untuk mewujudkan Kuala Lumpur yang lebih bersih, sihat dan berdaya huni demi kesejahteraan warga kota serta pelancong,” menurut kenyataan itu.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!