Pasar raya mini pasang bendera Johor terbalik diarah tutup 30 hari

Pasar raya mini yang tular kerana memasang bendera Johor terbalik dikenakan notis penutupan 30 hari oleh MPPn.
Pasar raya mini yang tular kerana memasang bendera Johor terbalik dikenakan notis penutupan 30 hari oleh MPPn.
A
A
A

PONTIAN – Sebuah premis pasar raya mini di Pekan Nanas di sini diarahkan tutup selama 30 hari selepas didapati mengibarkan bendera Johor secara terbalik pada Isnin sehingga tular di media sosial.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abdul Azim Shamsuddin berkata, notis penutupan bermula Isnin telah diserahkan kepada premis berkenaan.

Abdul Azim
Abdul Azim

Menurut beliau, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis terbabit melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan (MDP) 2019, iaitu berhubung pengibaran bendera.

“Tindakan penutupan ini dibuat mengikut UUK 49(2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua untuk menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen atau undang-undang kecil.

Tindakan penutupan diambil selepas mendapati premis terbabit melanggar UUK Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan (MDP) 2019.
Tindakan penutupan diambil selepas mendapati premis terbabit melanggar UUK Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan (MDP) 2019.

“Bagaimanapun, pemilik premis masih boleh mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan itu, namun keputusan lanjut tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua MPPn,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Abdul Azim menegaskan semua masyarakat termasuk individu dan pemilik perniagaan hendaklah memastikan bendera dipasang dengan betul.

“Jalur Gemilang dan bendera Johor adalah lambang serta tanda penghormatan kepada kedaulatan negara dan negeri.

“Pemilik premis perniagaan khasnya jangan membiarkan pekerja mereka memasang bendera tanpa dipantau dan disemak. Pemilik premis perniagaan perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan oleh pekerja mereka,” ujarnya lagi.

Eng Meng (kiri) mengibarkan Jalur Gemilang di sebuah restoran di Pekan Nanas pada Selasa.
Eng Meng (kiri) mengibarkan Jalur Gemilang di sebuah restoran di Pekan Nanas pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nenas, Tan Eng Meng berkata, pasukan pemantau khas telah ditubuhkan bagi memastikan pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor di kawasan itu dilakukan dengan betul sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Jelas beliau, pasukan tersebut melibatkan Ahli Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), ketua kampung serta ketua masyarakat yang akan turun padang memantau premis perniagaan dan rumah kediaman.

“Sekiranya terdapat kesilapan dalam pemasangan bendera, pasukan berkenaan akan terus membantu serta membetulkannya.

“Kita berharap insiden melibatkan pemasangan bendera secara terbalik tidak berulang dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!