Jutawan minyak dikehendaki Indonesia, Riza Chalid dikesan di Kuala Lumpur - Menteri

BEKASI – Usahawan minyak yang dikehendaki Indonesia, Muhammad Riza Chalid yang terlibat dalam kes rasuah besar melibatkan syarikat tenaga milik negara, Pertamina telah dikesan berada di Kuala Lumpur, menurut Menteri Imigresen dan Penjara Indonesia, Agus Andrianto pada Selasa.
Pendakwa raya mendakwa, antara 2018 hingga 2023, Riza bersekongkol dengan eksekutif Pertamina untuk mengatur pembelian minyak mentah secara palsu dan menyewa terminal bahan api tanpa keperluan operasi, menyebabkan kerugian negara dianggarkan sebanyak 285 trilion rupiah (kira-kira RM76.65 bilion).
“Analisis kami menunjukkan beliau berada di Kuala Lumpur. Kami sedang berkoordinasi dengan pihak berkuasa Malaysia untuk langkah seterusnya,” kata Agus kepada wartawan ketika melawat sebuah pusat tahanan di Cikarang, Bekasi.
Beliau turut memaklumkan maklumat itu kepada Presiden, Prabowo Subianto dan pihak penguat kuasa undang-undang Indonesia.
Riza adalah antara 18 suspek dalam siasatan menyeluruh terhadap Pertamina.
Pendakwa raya mendakwa, beliau mendapat kontrak untuk syarikat miliknya, Tangki Merak dan Orbit Terminal Merak bagi mengurus kemudahan penyimpanan bahan api di Pelabuhan Merak tanpa melalui proses saringan dalaman Pertamina, walaupun tiada keperluan operasi bagi terminal tersebut.
Pejabat Peguam Negara Indonesia telah merampas aset berkaitan Riza termasuk kenderaan mewah, hartanah dan wang tunai sebanyak 833 juta rupiah (RM217,300) sebagai usaha berterusan untuk memulihkan kerugian negara.
Pihak berkuasa turut mendakwa anak syarikat Pertamina bersekongkol dengan syarikat swasta untuk mencampur bahan api berkualiti rendah dan menjualnya sebagai bahan api premium, serta terlibat dalam urusan perniagaan yang merugikan negara secara besar-besaran.
Menurut penyiasat, Riza menggunakan pengaruhnya untuk meluluskan penyewaan terminal yang mahal dan menyebabkan kerugian kewangan besar kepada kerajaan.
Beliau dianggap sebagai tokoh paling menonjol dalam kalangan suspek, termasuk beberapa bekas eksekutif kanan Pertamina. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

