Apa yang anda perlu tahu tentang misi Global Flotia Sumud ke Gaza

GAZA – Lebih 50 kapal dari seluruh dunia kini belayar ke Gaza bagi mencabar sekatan haram Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan mendesak kepada penduduk Palestin yang berdepan kebuluran.
Konvoi pertama terdiri daripada puluhan bot kecil membawa aktivis, doktor, sukarelawan kemanusiaan serta bekalan asas berlepas dari pelabuhan di Sepanyol pada 31 Ogos sebelum bergabung dengan kumpulan kedua di Tunisia pada 4 September.
Menurut penganjur, Flotila Global Sumud ini merupakan misi maritim terbesar ke Gaza, menghimpunkan delegasi dari sekurang-kurangnya 44 negara merentasi enam benua termasuk Australia, Brazil, Afrika Selatan dan beberapa negara Eropah.
Misi ini digerakkan oleh empat gabungan utama: Global Movement to Gaza (GMTG) gerakan akar umbi solidariti antarabangsa; Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang berpengalaman 15 tahun mengendalikan misi laut termasuk kapal Madleen dan Handala; Maghreb Sumud Flotilla, inisiatif dari Afrika Utara; Sumud Nusantara, konvoi rakyat dari Malaysia bersama lapan negara lain di rantau Asia Tenggara. Kesemua gabungan ini membentuk flotila awam terbesar dalam sejarah moden.

Tokoh terkenal sertai flotila
Antara yang menyertai jawatankuasa pemandu ialah aktivis alam sekitar Sweden Greta Thunberg, ahli sejarah Kleoniki Alexopoulou, pejuang hak asasi Yasemin Acar, aktivis sosioalam sekitar Thiago Avila, ahli akademik Melanie Schweizer, Karen Moynihan, ahli fizik Maria Elena Delia, aktivis Palestin Saif Abukeshek dan sukarelawan kemanusiaan Muhammad Nadir al-Nuri.
Selain ratusan peserta yang menaiki kapal, puluhan ribu lagi telah mendaftar untuk menyokong inisiatif ini.
Perjalanan 3,000km ke Gaza
Saif Abukeshek memaklumkan butiran pelabuhan dan kapal dirahsiakan atas faktor keselamatan. Armada dijangka mengambil masa tujuh hingga lapan hari untuk menempuh perjalanan sejauh kira-kira 3,000 kilometer menuju Gaza.
Kenapa perlu hantar bantuan melalui laut?
Sejak 2007, Israel mengawal ketat ruang udara dan perairan Gaza, menjadikan laluan darat dan udara hampir mustahil digunakan. Flotila kemanusiaan dianggap satu-satunya cara mencabar sekatan itu secara langsung selain menyampaikan mesej bahawa kepungan mesti ditamatkan.
Nasib flotila terdahulu
Beberapa misi flotila sebelum ini berdepan serangan Israel di perairan antarabangsa:
2008: Dua bot dari Free Gaza Movement berjaya menembusi sekatan.
2010: Serangan komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara mengorbankan 10 aktivis dan mencetuskan kemarahan global.
2015: Marianne of Gothenburg dipintas dalam misi Freedom Flotilla III.
2018: Flotila Just Future for Palestine turut disekat.
2025: Kapal Conscience, Madleen dan Handala masing-masing diserang atau dipintas Israel, termasuk serangan dron bersenjata berhampiran Malta pada Mei lalu.
Penganjur menegaskan bahawa Flotila Global Sumud kali ini adalah simbol solidariti rakyat antarabangsa, menuntut sekatan ke atas Gaza dihentikan serta menamatkan penderitaan berjuta penduduk Palestin. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

