[VIDEO] Peniaga kedai runcit dalang sindiket syabu RM6.5 juta
KOTA BHARU - Seorang peniaga kedai runcit disyaki dalang sindiket dadah dicekup bersama syabu seberat 204.24 kilogram (kg) bernilai RM6.5 juta yang disorokkan di dalam semak di Kampung Kasar, Pasir Mas pada 25 Ogos lalu.
Lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menjalankan perniagaan runcit sejak Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan maklumat risikan, JSJN Bukit Aman telah menyerbu sebuah premis dan menahan seorang lelaki.

"Hasil tangkapan tersebut membawa kepada penemuan tujuh guni berisi 196 bungkusan plastik mengandungi syabu yang disorok di dalam kawasan semak tidak jauh dari kedai runcit suspek.
"Suspek merupakan seorang penghantar di dalam sindiket ini di mana dadah terbabit dikatakan dibawa masuk dari utara Thailand ke Malaysia melalui pangkalan haram di Sungai Golok berhampiran Kampung Terusan," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, lelaki berkenaan dikatakan akan menunggu arahan sebelum dadah tersebut kemudian dibawa ke Lembah Klang untuk dipasarkan.
Hussein memberitahu, suspek direman selama 14 hari sehingga 8 September ini dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

Tambah beliau, peniaga kedai runcit terbabit juga dikatakan mempunyai lima rekod jenayah lampau iaitu empat berkait dadah dan satu jenayah.
"Kami turut menyita sebuah kereta Proton Persona, van Ford Econovan dan wang tunai dalam akaun berjumlah RM708.75.
"Suspek akan disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Pihak polis juga sedang menyiasat sama ada lelaki ini merupakan ketua sindiket atau hanya sekadar penghantar," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

