RUU Pekerja Gig lulus, bukti kepentingan rakyat didahulukan

RUU Pekerja Gig 2025 diluluskan di Dewan Rakyat, memberi perlindungan undang-undang kepada lebih 1.2 juta pekerja gig Malaysia termasuk e-hailing dan penghantaran makanan. Gambar hiasan
RUU Pekerja Gig 2025 diluluskan di Dewan Rakyat, memberi perlindungan undang-undang kepada lebih 1.2 juta pekerja gig Malaysia termasuk e-hailing dan penghantaran makanan. Gambar hiasan
A
A
A

KELULUSAN Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat pada Khamis menjadi detik bersejarah buat lebih 1.2 juta pekerja sektor gig di Malaysia yang selama ini bergantung kepada pendapatan daripada platform digital seperti penghantaran makanan, e-hailing, pemandu persendirian serta perkhidmatan atas talian.

RUU yang sudah digubal sejak tujuh tahun lalu ini akhirnya membuka jalan untuk pekerja gig menikmati hak-hak penting seperti rundingan gaji, perlindungan syarat kerja dan suara yang lebih jelas dalam industri yang semakin berkembang pesat.

Bagi kebanyakan pekerja gig, cabaran utama mereka selama ini ialah ketiadaan undang-undang khusus yang melindungi kebajikan serta memastikan pendapatan yang lebih adil.

Kini, dengan adanya undang-undang tersebut, pekerja tidak lagi dianggap sekadar pekerja bebas tanpa jaminan.

Sebaliknya, mereka mempunyai ruang undang-undang untuk memperjuangkan kepentingan bersama.

Kelulusan ini juga dilihat sebagai usaha kerajaan untuk mengangkat martabat pekerjaan gig ke tahap yang lebih stabil dan diyakini masyarakat.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menegaskan bahawa RUU ini berbeza daripada cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) kerana fokusnya jelas untuk memberi perlindungan buruh kepada pekerja.

Lebih penting, langkah ini memberi mesej bahawa sektor gig bukan lagi industri sampingan semata-mata, sebaliknya sudah menjadi salah satu tunjang ekonomi negara.

Dengan sokongan majoriti ahli Parlimen, jelas bahawa kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang menyedari betapa pentingnya masa depan golongan ini.

Artikel Berkaitan:

Ia menunjukkan bahawa kepentingan rakyat diangkat melebihi sentimen politik. Walaupun terdapat perbezaan pandangan, kelulusan melalui undian suara pada hari terakhir sidang Parlimen membuktikan isu kebajikan pekerja gig lebih utama berbanding percaturan politik sempit.

Dari sudut jangkaan, pekerja gig berpeluang menikmati struktur pendapatan lebih terjamin, akses kepada perundingan bersama serta syarat kerja yang lebih baik.

Hal ini dijangka meningkatkan motivasi, produktiviti dan keselamatan sosial mereka. Malah, dalam jangka panjang, ia mampu menarik lebih ramai belia menyertai sektor ini tanpa ragu-ragu terhadap isu perlindungan atau eksploitasi.

RUU Pekerja Gig 2025 tidak hanya melibatkan isu teknikal undang-undang, tetapi simbol perubahan landskap pekerjaan di Malaysia.

Ia memberi sinar baharu kepada golongan pekerja yang selama ini dianggap terpinggir, sekali gus menjadikan sektor gig lebih inklusif, progresif dan mampan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!