RUU Pekerja Gig 2025 jadi hadiah bermakna sempena Hari Kebangsaan - Steven

Steven turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para penghantar atas sokongan terhadap RUU itu. Foto Bernama
Steven turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para penghantar atas sokongan terhadap RUU itu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat Khamis lepas merupakan hadiah istimewa kepada semua pekerja gig sempena Hari Kebangsaan 2025, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Malah, beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para penghantar atas sokongan terhadap RUU itu ketika beramah mesra dengan kontinjen pekerja gig terdiri daripada pasukan e-hailing dan p-haling yang mengambil bahagian dalam perbarisan Hari Kebangsaan 2025 di sini pagi Ahad.

"Bagi saya, Hari Kebangsaan tahun ini begitu istimewa kerana kita meraikannya dengan satu hadiah bermakna untuk semua pekerja gig, iaitu kelulusan RUU Pekerja Gig 2025,” katanya.

Beliau berkata, RUU berkenaan akan memberi perlindungan menyeluruh kepada pekerja gig termasuk aspek kebajikan, keselamatan sosial dan hak mereka sebagai sebahagian tenaga kerja penting dalam ekonomi negara.

Dalam pertemuan sebelum acara rasmi bermula di Dataran Putrajaya itu, Steven turut menyampaikan ucapan selamat kepada semua penghantar yang berarak sebagai sebahagian daripada Kontinjen Kluster Ekonomi, Telekomunikasi dan Inovasi Untuk Rakyat sambil mengiktiraf semangat patriotisme yang mereka tunjukkan.

Beliau juga berdiri memberikan penghormatan ketika kontinjen penghantar melintasi pentas utama.

RUU Pekerja Gig 2025 dijadual dibentangkan di Dewan Negara pada sesi ini sebelum diwartakan dan dikuatkuasakan bagi memastikan kebajikan serta perlindungan pekerja gig di Malaysia, sekali gus menandakan berakhirnya era pekerja gig tanpa pembelaan. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!