RUU Pekerja Gig 2025 perlu lalui Analisis Impak Peraturan - Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 perlu melalui Analisis Impak Peraturan (RIA) terlebih dahulu sebelum dilaksanakan supaya tiada masalah timbul kepada golongan berkenaan pada masa hadapan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pembangkang turut berpendirian bahawa RUU berkenaan perlu dirujuk semula ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk ditambah baik.
"Perlu ada Analisis Impak Peraturan dibuat terlebih dahulu yang kini belum dibuat. Nescaya pelbagai masalah akan timbul nanti.
"Kami Perikatan Nasional (PN) bersedia membela pekerja gig dalam apa jua keadaan selepas ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, RUU Pekerja Gig 2025 yang bakal membolehkan lebih 1.2 juta pekerja sektor itu mendapat hak rundingan gaji dan syarat kerja, diluluskan di Dewan Rakyat.
Selepas tujuh tahun digubal, undang-undang ini akhirnya diluluskan setelah dibahaskan oleh 23 anggota Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang.
RUU itu meraih sokongan majoriti ahli Parlimen melalui undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, walaupun RUU tersebut sudah diluluskan, masih banyak kelompangan yang perlu diperbaiki bagi memastikan nasib pekerja gig benar-benar terbela.
"Kami tidak bantah semuanya cuma ada banyak perkara yang perlu diteliti semula dalam membela hak pekerja gig khususnya dalam sektor e-hailing dan p-hailing," ujarnya lagi.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, antara persoalan utama masih belum terjawab ialah sama ada RUU berkenaan mampu memberi keadilan kepada pekerja gig dalam sektor p-hailing dan e-hailing.
Ujarnya, isu itu timbul apabila perkhidmatan gig dikuasai oleh algoritma perkhidmatan yang dikuasai dan dikelolai oleh majikan gig iaitu pemilik platform gig.
"Kita semua tahu inilah antara masalah utama yang menghantui pekerja p dan e-hailing iaitu sumber kepada ketidakadilan dan juga kecelakaan jalan raya," menurut beliau.
Kata Wan Ahmad Fayhsal, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong masih gagal menjawab persoalan tersebut walaupun perkara itu turut dibangkitkan oleh ramai ahli Parlimen lain termasuklah dirinya sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

