[VIDEO] 41 peserta 'war game' ditahan, lebih 400 senjata api tiruan, aksesori dirampas
KUANTAN - Hasrat 41 lelaki untuk berkumpul dipercayai bagi menyertai permainan 'war game' menggunakan senjata api tiruan di kawasan tanah rizab Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Padang Hangus, Gebeng di sini terbantut selepas lokasi itu diserbu polis pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kesemua lelaki berusia 21 hingga 66 tahun terdiri pelbagai latar belakang pekerjaan termasuk penjawat awam, tentera, jurutera, doktor dan pelajar ditahan untuk siasatan kerana disyaki memiliki senjata api tiruan tanpa lesen atau permit sah.

Menurutnya, susulan penahanan kesemua lelaki itu, polis menemui dan merampas 406 unit senjata api tiruan dan aksesori yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000.
"Antara yang dirampas, 65 laras rifle, 32 pistol angin, 130 kelopak peluru, 28 jaket perisai badan, 40 topi dan penutup muka.
"Turut dirampas 36 pouch beg, 22 bungkus peluru plastik, 18 unit tabung gas dan 35 aksesori lain termasuk skop dan walkie-talkie," katanya pada sidang media kes itu di sini pada Selasa.

Ashari berkata, kegiatan itu terbongkar susulan aduan awam selepas mendapati kehadiran lelaki bersenjata termasuk yang memakai pakaian ala tentera di kawasan tanah rizab TLDM yang belum dibangunkan itu.

"Bertindak atas maklumat, pihak polis dengan kerjasama unit khas TLDM Kuantan melaksanakan satu operasi khas Op Laras di lokasi itu bermula jam 3 hingga 6.30 petang.
"Dalam operasi itu, seorang lelaki menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah Toyota Vellfire ditahan bersama senapang angin M4 serta aksesori kira-kira jam 3 petang.
"Seramai 39 lelaki lelaki lagi ditahan ketika sedang berkumpul di lokasi kejadian dipercayai mengikuti taklimat sebelum memulakan aktiviti 'war game' menggunakan senjata api tiruan milik masing-masing," katanya.

Tambah beliau, seorang lelaki lagi ditahan dalam kenderaan Proton X70 bersama pakaian celoreng, beg taktikal serta dua laras senapang angin.
"Semua suspek ditahan reman selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206).
"Jika sabit kesalahan, individu terlibat berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tambah Ashari lagi, pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh bagi memastikan sama ada kegiatan itu sekadar 'hobi' atau melibatkan anasir jenayah.
"Berdasarkan siasatan awal, senjata api tiruan dan aksesori yang dirampas milik individu yang dibeli dari luar negara melalui platform jual beli dalam talian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

