Letupan kecil dikesan ketika operasi padam kebakaran ladang PPNJ

MUAR – Satu insiden letupan kecil dikesan berlaku dalam operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di ladang milik Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Batu 13/14, Air Hitam di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, letupan tersebut berlaku di Sektor D kawasan kebakaran ketika operasi memadam kebakaran memasuki hari kelapan.
“Letupan itu dipercayai berpunca daripada kebakaran tanah gambut yang masih aktif di bawah permukaan tanah.
“Untuk rekod, satu kejadian letupan turut dilaporkan di sektor yang sama pada 3 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, siasatan terperinci di lokasi kejadian berdepan kesukaran berikutan asap tebal serta struktur tanah gambut yang longgar dan tidak stabil, sekali gus mengehadkan akses ke kawasan terlibat.

“Demi keselamatan anggota dan orang awam, Sektor D telah ditutup sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Bagaimanapun, operasi pemadaman kebakaran tetap diteruskan menggunakan kaedah pemadaman udara (water bombing) dengan bantuan helikopter bagi meminimumkan risiko kepada petugas di lapangan,” ujarnya.
Pada Jumaat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaporkan mula menggunakan teknik pengeboman air menerusi helikopter bagi mengawal kebakaran kawasan tanah gambut di Batu 13 dan 14, Bakri, di sini.
Ketua Zon 4 JBPM Johor, Norshuhada Amsari berkata, operasi pengeboman air pada hari ketujuh kebakaran di kawasan itu bermula kira-kira jam 9 pagi dengan memfokuskan Sektor D, iaitu kawasan kebakaran terbesar dengan keluasan dianggarkan 88 hektar.
Ringkasan AI
- Insiden letupan kecil berlaku dalam operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di ladang milik Pertubuhan Peladang Negeri Johor di Batu 13/14, Air Hitam
- Letupan berpunca daripada kebakaran tanah gambut yang masih aktif di bawah permukaan tanah
- Kejadian letupan sama dilaporkan di sektor yang sama pada 3 Februari lalu
- Siasatan berdepan kesukaran disebabkan asap tebal dan struktur tanah gambut yang longgar
- Operasi pemadaman diteruskan menggunakan kaedah pemadaman udara dengan bantuan helikopter
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

