Cubaan seludup benih kerang gagal, tiga termasuk warga Thailand ditahan

Bot PERKASA 1226 berjaya memintas sebuah bot kayu dan pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Thailand berada atas bot tanpa sebarang dokumen pengenalan diri sah. Foto: Maritim Malaysia
Bot PERKASA 1226 berjaya memintas sebuah bot kayu dan pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Thailand berada atas bot tanpa sebarang dokumen pengenalan diri sah. Foto: Maritim Malaysia
A
A
A

KUALA KEDAH – Cubaan menyeludup benih kerang bernilai RM34,500 ke negara jiran gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot kayu dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kedah, pada Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot berkenaan dikesan kira-kira 1.6 batu nautika barat Kuala Tunjang sekitar jam 1.40 petang hasil risikan Unit Risik Maritim Negeri Kedah dan Perlis bersama Zon Maritim Kuala Kedah serta Zon Maritim Kuala Perlis.

Menurutnya, bot terbabit dikesan dalam perjalanan menuju ke daratan sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.

“Bot PERKASA 1226 berjaya memintas bot kayu tersebut dan pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Thailand berada di atas bot tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata, bot berkenaan turut disyaki membawa benih kerang dalam kuantiti besar secara haram tanpa kebenaran bertulis atau permit sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Benih kerang bernilai RM34,500 yang dirampas. Foto: Maritim Malaysia
Benih kerang bernilai RM34,500 yang dirampas. Foto: Maritim Malaysia

Dalam operasi sama, dua lelaki tempatan turut ditahan di Jeti Kerpan bersama dua kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan untuk mengangkut benih kerang tersebut.

Bot, benih kerang dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM132,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana membawa benih kerang tanpa kebenaran bertulis serta Akta Imigresen 1959/63 berikutan kegagalan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Zon Maritim Kuala Kedah akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan di perairan negara serta menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perikanan haram, penyeludupan atau jenayah di perairan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-731 0579 untuk tindakan segera.

Ringkasan AI

  • Cubaan menyeludup benih kerang bernilai RM34,500 ke negara jiran digagalkan oleh Maritim Malaysia di perairan Kedah
  • Bot kayu dengan seorang lelaki warga Thailand tanpa dokumen pengenalan diri yang sah ditahan
  • Bot disyaki membawa benih kerang secara haram tanpa permit dari Jabatan Perikanan Malaysia
  • Dua lelaki tempatan dan dua buah kenderaan 4x4 yang digunakan untuk mengangkut benih kerang turut ditahan
  • Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63, total nilai bot, benih kerang dan kenderaan dianggarkan RM132,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!