Rakyat Malaysia ditahan bersama senjata api: Polis perketat kawalan sempadan

ALOR SETAR – Polis Kedah memperketatkan kawalan di pintu masuk sempadan Malaysia–Thailand susulan penahanan seorang lelaki warga Malaysia yang didapati membawa dua laras raifal M4 dan ratusan butir peluru di Sadao, Songkhla, Thailand.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan sebarang cubaan penyeludupan senjata api atau barang larangan ke negara ini.
“Kita memang sentiasa waspada dan kawalan sempadan sentiasa diperketatkan,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Jelasnya, kawalan diperketatkan di pintu masuk utama sempadan negeri ini, iaitu di Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan seorang rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand bersama senjata api perang jenis M4 dan ratusan butir peluru dalam kereta yang dipandunya di Sadao, Songkhla.
Suspek berusia 46 tahun itu ditahan pada jam 5.35 petang Ahad ketika melalui sekatan jalan raya yang dijalankan oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao.
Menurut sumber, sekatan jalan raya tersebut dijalankan sebagai sebahagian daripada operasi pencegahan jenayah, penyeludupan dadah serta ancaman keselamatan.
Pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Kia bernombor pendaftaran Malaysia itu menemui dua laras raifal M4, 300 butir peluru kaliber 5.56 mm, tujuh magazin peluru 5.56 mm, 100 butir peluru kaliber.45 mm dan 50 butir peluru kaliber 9 mm.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

