Siaran langsung perbicaraan rasuah langkah telus perangi rasuah

SHAH ALAM – Siaran langsung perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi dilihat sebagai langkah berani untuk memperkukuh usaha memerangi rasuah, meningkatkan ketelusan serta menepis persepsi negatif rakyat terhadap sistem kehakiman dan agensi penguat kuasa.
Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair (Negarawati), Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, ketelusan seumpama itu amat penting bagi memerangi naratif palsu yang sering dimanipulasi pihak tertentu hingga menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi kerajaan.
"Melalui siaran langsung, fakta dan maklumat dapat disampaikan secara telus tanpa tapisan atau manipulasi. Bagaimanapun, pelaksanaannya tidak boleh dibuat secara ad hoc atau tergesa-gesa.
"Proses siaran langsung itu perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan kawalan ketat bagi memastikan ia benar-benar berkesan dan tidak menimbulkan implikasi lain," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan supaya prosiding perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiarkan secara langsung bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap proses kehakiman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata cadangan itu dibuat kerana ada segelintir pihak menggunakan media sosial untuk memanipulasi fakta yang didedahkan di mahkamah sehingga menyebabkan berlaku tohmahan tidak sepatutnya.
Bibi Sunita menambah, selain memberi ketelusan, langkah itu juga dilihat berfungsi sebagai pendidikan kepada rakyat.
Menurutnya, masyarakat berpeluang memahami secara langsung proses undang-undang, sekali gus membina rasa kebersamaan dan keyakinan terhadap sistem kehakiman.
Dalam masa sama, beliau berpandangan isu integriti agensi kerajaan yang sering dipersoalkan rakyat turut dapat ditangani.
"Selama ini wujud persepsi bahawa agensi kerajaan tidak telus dan melindungi pihak tertentu. Siaran langsung perbicaraan dapat mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap usaha membanteras rasuah," ujarnya.
Menurut Bibi Sunita, siaran langsung juga akan membolehkan rakyat menilai sendiri bahasa badan, percakapan dan tingkah laku pihak terlibat.
Jelasnya, hakim, pendakwa raya, peguam serta saksi akan diperhatikan oleh seluruh negara, sekali gus mewujudkan kesedaran bahawa setiap tindakan mereka diperhati rakyat.
"Namun begitu, kebimbangan tetap wujud terutama membabitkan keselamatan saksi dan keluarga mereka. Pendedahan identiti saksi berisiko mendedahkan mereka kepada tekanan, ancaman atau buli.
"Justeru, mekanisme perlindungan perlu diperhalusi bagi memastikan saksi berani tampil memberikan keterangan tanpa rasa takut," tegas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

