'Siaran langsung bicara kes rasuah boleh dimanipulasi'

Laporan Sinar Harian berhubung SPRM cadang perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiar secara langsung. Gambar kecil: Ikmal Hisham
Laporan Sinar Harian berhubung SPRM cadang perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiar secara langsung. Gambar kecil: Ikmal Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Menyiarkan prosiding kes rasuah berprofil tinggi secara langsung dikhuatiri mengundang kesan negatif sekali gus melemahkan keyakinan masyarakat terhadap sistem kehakiman negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ikmal Hisham Md Tah berkata, ia mungkin dilihat mampu meningkatkan ketelusan, namun berpotensi menimbulkan lebih banyak masalah daripada segi persepsi, terutama dalam kalangan orang ramai yang tidak memahami undang-undang dan mudah dipengaruhi naratif negatif di media sosial.

“Siaran langsung boleh dimanipulasi pihak tertentu untuk membentuk pandangan awam yang akhirnya merosakkan reputasi mahkamah.

“Sama ada disiarkan atau tidak, mahkamah tetap mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan dan keutamaan harus diberikan kepada kebebasan institusi kehakiman serta integriti hakim,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau mengulas cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu yang bertujuan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap proses kehakiman.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, terdapat segelintir pihak menggunakan media sosial untuk memanipulasi fakta yang didedahkan di mahkamah sehingga mengundang tohmahan tidak sepatutnya.

Mengulas lanjut Ikmal Hisham berpandangan, cadangan menyiarkan prosiding kes secara langsung juga dilihat janggal dalam sistem kehakiman Malaysia yang selama ini mengamalkan prinsip pendengaran terbuka.

“Walaupun prosiding secara dalam talian pernah dilaksanakan semasa pandemik Covid-19, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menyiarkan kes berprofil tinggi. Pemilihan kes tertentu tidak menjamin persepsi masyarakat menjadi lebih baik.

“Malah, ia hanya akan menambah kos mahkamah serta membuka ruang kepada pandangan negatif umum dan percubaan pihak-pihak tertentu untuk menggugat keyakinan terhadap sistem kehakiman negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan bahawa keselamatan hakim, pendakwa raya dan peguam boleh terancam jika siaran langsung dibenarkan.

“Lebih merisaukan, ia boleh mendorong fenomena trial by media yang menjadikan prosiding mahkamah sebagai perbicaraan awam di media sosial. Integriti sistem kehakiman boleh terhakis,” katanya.

Ikmal Hisham menegaskan, sistem sedia ada lebih sesuai dikekalkan kerana ia tetap membolehkan orang ramai menghadiri prosiding mengikut lunas undang-undang.

“Masyarakat akan berasa lebih yakin dengan mahkamah jika perbicaraan dijalankan secara profesional, tanpa perlu bergantung kepada siaran langsung,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!