Ibu bapa Wan Ahmad Faris serah memorandum, tuntut penjelasan kes kematian

KOTA BHARU - Ibu bapa kepada pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman pada Isnin menyerahkan memorandum kepada kerajaan Kelantan bagi menuntut penjelasan dan kerjasama berhubung kes kematian anak mereka yang masih menjadi tanda tanya sejak 2013.
Wakil peguam keluarga, Tengku Shazuan Tengku Shariffudin berkata, memorandum itu bertujuan mendapatkan komitmen kerajaan negeri memandangkan sekolah tempat kejadian berlaku berada di bawah naungan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
“Antara isu utama yang dibangkitkan dalam memorandum ialah memohon penjelasan berhubung perobohan tandas asrama sekitar dua hingga tiga minggu selepas penemuan mayat Wan Ahmad Faris di lokasi itu dan rekod keluar masuk pelajar.
“Selain itu, ketiadaan siasatan terhadap insiden pergaduhan sebelum penemuan jasad arwah serta keraguan berhubung kehilangan barangan peribadi termasuk kad SIM telefon bimbit mangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum berkenaan di Kota Darulnaim di sini pada Isnin.
Turut hadir ibu bapa arwah, Ruhani Hussin, 70, dan Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 79, yang menyerahkan memorandum itu kepada wakil kerajaan negeri iaitu Pegawai Khas kepada Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Anas Rizuan Shamsuddin.
Menurut Tengku Shazuan, walaupun keluarga sudah memfailkan saman sivil pertama terhadap kerajaan Persekutuan, tindakan terhadap kerajaan negeri masih dalam pertimbangan selepas perbincangan lanjut bersama barisan peguam.

“Ini usaha kedua terhadap kerajaan negeri selepas saman sivil terhadap kerajaan Persekutuan pada Julai lalu.
“Bagi bahagian siasatan jenayah pula, setakat ini kerajaan memberi kerjasama positif,” katanya.
Sementara itu, Ruhani menegaskan beliau dan suaminya tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan buat Wan Ahmad Faris meskipun usia semakin lanjut.
“Kami bukan orang politik, kami hanya mahu supaya kes Allahyarham disiasat dengan sempurna dan diberikan keadilan yang saksama oleh kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.
“Saya tidak akan berhenti untuk menegakkan keadilan kepada arwah anak kami,” katanya.
Wan Ahmad Faris, 16, pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, ditemukan tergantung dalam tandas asrama pada Disember 2013.
Kes itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai bunuh diri, namun pada 2016 keputusan inkues di Mahkamah Koroner memutuskan kematian berpunca daripada tindakan individu tidak dikenal pasti.
Pada 2020, kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) sebelum siasatan dibuka semula pada bulan lalu selepas desakan keluarga serta perhatian masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

