Kes bunuh pelajar tahfiz: Semua pihak digesa beri kerjasama - AWAN

Penting bantu proses berjalan lancar untuk menegakkan keadilan

Allahyarham Wan Ahmad Faris.
Allahyarham Wan Ahmad Faris.
A
A
A

KOTA BHARU – Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) mahu semua pihak beri kerjasama dalam menuntut keadilan terhadap kes pembunuhan pelajar tahfiz Kok Lanas, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman walaupun kejadian sudah berlaku 12 tahun lepas.

Naib Ketua AWAN, Dr Hafidzah Mustakim berkata, langkah itu penting supaya saksi dapat memberi keterangan tanpa halangan dan prosesnya berjalan lancar.

Dr Hafidzah
Dr Hafidzah

“Kalau benar mahu menolong, semua pihak perlu beri kerjasama penuh supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan,” katanya kepada pemberita selepas program Kembara Merdeka Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama di sini pada Jumaat.

Pada tahun 2013, pelajar berusia 16 tahun itu ditemukan mati tergantung dalam tandas asrama sekolah tahfiz di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan.

Kes tersebut pada awalnya telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh diri.

Pada 2016, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian pelajar tersebut adalah akibat perbuatan jenayah, dibunuh oleh individu yang belum dikenal pasti.

Sekian lama berlarutan, tiada tangkapan atau pendakwaan dilakukan sehingga menyebabkan ibu bapa arwah mengambil tindakan memfailkan saman sivil pada bulan lepas terhadap kerajaan, Ketua Polis Negara dan pegawai penyiasat bagi menuntut pembelaan.

Artikel Berkaitan:

Beberapa hari lalu, ahli keluarga Allahyarham memuat naik respon bahawa tiada keperluan kubur Wan Ahmad Faris digali semula seperti kes kematian pelajar Tingkatan Satu Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Sabah.

Pihak keluarga Wan Ahmad Faris mendakwa beberapa bukti serta petunjuk sedia ada terhadap kes itu sudah mencukupi termasuk dikatakan dua profil asid deoksiribonukleik (DNA) ada pada kain pelikat di leher arwah semasa mayat ditemukan.

Dalam pada itu, Dr Hafidzah menekankan bahawa perhatian semula terhadap kes selepas lebih sedekad itu memberi harapan baharu kepada keluarga Allahyarham.

“Ketelusan proses perundangan dan integriti pihak terlibat adalah kunci supaya keadilan dapat ditegakkan, seterusnya memberi keyakinan kepada rakyat terhadap sistem undang-undang negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!