Sindiket migran menyamar pemandu e-hailing tumpas

Imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan migran menyamar sebagai pemandu e-hailing di Kajang.
Imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan migran menyamar sebagai pemandu e-hailing di Kajang.
A
A
A

KAJANG - Helah sindiket penyeludupan migran yang menyamar sebagai pemandu e-hailing bagi mengaburi pihak berkuasa akhirnya terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan kumpulan dikenali sebagai Takor dalam operasi khas pada Jumaat.

Serbuan dijalankan kira-kira jam 3.45 petang oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi hasil risikan selama dua minggu itu melibatkan dua lokasi berasingan di sekitar Kajang.

"Seramai sembilan individu berusia 26 hingga 60 tahun ditahan termasuk pasangan suami isteri warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai 'transporter'.

"Selain itu, turut ditahan tiga lelaki warga Indonesia yang berperanan sebagai penjaga premis serta dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, semakan awal mendapati dua lelaki warga Indonesia terbabit tinggal lebih masa, manakala lima lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.

"Siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan helah sebagai pemandu e-hailing untuk mengurus penghantaran warga asing pulang ke negara asal masing-masing.

"Kadar bayaran dikenakan antara RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap individu. Sindiket dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dengan menyasarkan warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen atau telah tinggal lebih masa di Lembah Klang," katanya.

Menurutnya, operasi turut merampas empat pasport Indonesia, tujuh unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM1,455 serta sebuah kereta jenis Perodua Alza.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan diambil di bawah Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 26J akta sama.

"Selain itu, tindakan turut diambil di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(4) akta sama," katanya.

Zakaria berkata, semua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala seorang wanita tempatan diberikan notis hadir bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!