Op Sikaro: 14 syarikat disyaki salah guna lesen import rokok

SHAH ALAM – Sebanyak 14 syarikat yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Sikaro didapati menyalahgunakan lesen mengimport rokok dengan membuat pengisytiharan palsu ketika proses import.
Sumber berkata, siasatan awal bagaimanapun mendapati kesemua syarikat terbabit memiliki lesen import yang sah.
"Sehingga kini seramai 14 individu termasuk pengarah serta wakil syarikat telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
"Hasil serbuan dan penggeledahan juga tidak menemui sebarang bukti penggunaan setem cukai palsu, namun siasatan masih diteruskan," katanya pada Ahad.
Sumber itu menjelaskan, modus operandi sindiket adalah dengan menukar kod kastam atau butiran barang bagi mengelak dikenakan cukai sebenar.
Terdahulu, SPRM menyerbu beberapa syarikat dipercayai terbabit dalam penyeludupan tembakau, rokok dan cerut di 14 lokasi sekitar Lembah Klang serta Johor.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai lebih RM250 juta sejak 2020 hingga 2024.
Serbuan turut melibatkan premis perniagaan dan pemilik syarikat yang menjalankan aktiviti berkaitan tembakau, cerut serta pembekalan minuman keras yang disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

