Suami isteri didakwa salah guna kuasa, kemuka dokumen palsu RM4.9 juta

KUALA TERENGGANU - Bekas Penolong Juruukur Bahan dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dakwaan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan serta mengemukakan dokumen palsu, membabitkan nilai keseluruhan RM4.9 juta.
Tertuduh, Mohammad Hanif Ahmad, 41, dan isterinya, Maimunah Syahbudin, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Berdasarkan pertuduhan satu hingga empat, Mohammad Hanif didakwa menggunakan jawatannya sebagai penjawat awam di Majlis Perbandaran Dungun (MPD) bagi mendapatkan suapan berbentuk kontrak kerja pembersihan awam dan kerja berkaitan dengan nilai keseluruhan RM4,984,296.
Dia didakwa mengesyorkan syarikat milik bapa, abang dan rakannya bagi mendapatkan kontrak tersebut antara 16 Disember 2018 hingga 9 Mac 2021 di Jalan Yahaya Ahmad, Dungun.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Sementara itu, isterinya, Maimunah didakwa atas 10 pertuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu penyata akaun dan sijil akuan pendaftaran syarikat tiga syarikat berbeza di MPD.
Dia yang merupakan bekas kontraktor didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara 17 Disember 2020 hingga 10 Januari 2021.
Pendakwaan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohammad Hanif diikat jamin sebanyak RM18,000 dan Maimunah RM10,000 serta menetapkan 12 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ezuain Farhana Ahmad, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Ghazali Ismail.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!