Perpaduan kunci kekuatan negara

Perpaduan adalah asas kemerdekaan dan kekuatan Malaysia. Gambar hiasan
Perpaduan adalah asas kemerdekaan dan kekuatan Malaysia. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Hari ini, seluruh rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan, ulang tahun kemerdekaan ke-68, dengan penuh rasa syukur dan bangga.

Laungan keramat ‘Merdeka’ yang pernah dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957 kembali bergema, mengingatkan kita bahawa kebebasan yang dikecapi kini adalah hasil daripada perpaduan seluruh rakyat.

Namun, setelah lebih enam dekad merdeka, persoalan besar yang wajar direnung ialah sejauh mana kita benar-benar mengekalkan semangat perpaduan yang menjadi asas kemerdekaan.

Tanpa kesatuan, segala nikmat kebebasan ini boleh terhakis sedikit demi sedikit.

Oleh itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa mereka yang cuba memecahbelahkan rakyat berasaskan kaum, wilayah atau agama mesti dihalang dengan tegas kerana tindakan itu hanya akan meruntuhkan masa depan negara.

Beliau berkata, perpaduan ialah asas kekuatan Malaysia sejak awal perjuangan kemerdekaan dan semangat itu perlu terus dipelihara untuk memastikan kestabilan serta kemakmuran negara berkekalan.

Bagaimanapun, hasutan berbaur perkauman, politik kebencian dan prejudis lama merupakan perkara paling mencabar dalam usaha memperkukuhkan perpaduan.

Jika dibiarkan, ia berpotensi meretakkan hubungan antara kaum yang sekian lama hidup bersama secara harmoni.

Sedangkan dalam konteks masyarakat majmuk, perpaduan bermaksud meraikan perbezaan dengan semangat saling menghormati.

Artikel Berkaitan:

Warna-warni budaya, bahasa dan agama sepatutnya menjadi kekuatan, bukan jurang pemisah.

Namun, realiti kini menunjukkan perpaduan semakin rapuh jika rakyat mudah terpengaruh dengan fitnah dan ujaran kebencian.

Media sosial sering dijadikan senjata untuk menyebarkan kebencian yang akhirnya membakar semangat persaudaraan antara kaum.

Atas sebab itu, langkah kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap cubaan memecah belah masyarakat amat penting.

Tetapi pada masa sama, rakyat juga perlu memainkan peranan kerana tanggungjawab menjaga keharmonian adalah amanah bersama, bukan hanya di bahu kerajaan.

Jika rakyat terus terperangkap dalam pemikiran sempit, Malaysia berisiko berdepan bentuk penjajahan baharu sama ada dominasi ekonomi oleh kuasa luar, pengaruh budaya asing atau manipulasi isu kaum demi kepentingan politik.

Perpaduanlah yang menjadi benteng pertahanan terbaik dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar, hanya masyarakat bersatu mampu bertahan.

Perpaduan bukan sekadar isu sosial, tetapi juga kunci kepada kemajuan ekonomi dan kestabilan politik negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!