'Berkampung' di Dataran Putrajaya, cop tempat awal rai Hari Kebangsaan

PUTRAJAYA - Tidak sabar meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2025, ribuan pengunjung sudah mula ‘berkampung’ dan memasang khemah seawal jam 7 petang Sabtu.
Bukan itu sahaja, ada yang kekal tidak berganjak dari tempat masing-masing kerana tidak mahu terlepas ‘hot seat’ di sekitar Dataran Putrajaya, terutamanya kawasan berhampiran pentas utama.
Menurut seorang suri rumah, Mustika Mohd Najib, 39, dia sekeluarga sanggup menempah bilik di hotel berdekatan untuk dua hari satu malam hanya kerana tidak ingin terlepas menyaksikan detik bersejarah itu.

Kata wanita asal Klang tersebut, ini merupakan kali pertama dia, suami dan anak-anak menghadiri program tahunan itu selain teruja merasai pengalaman berkumpul beramai-ramai dari malam sehingga pagi hari berlangsungnya acara.
“Kami tiba di sini sekitar jam 10 malam tadi, ini kali pertama saya datang untuk sambut hari kemerdekaan dan kami nak tengok sendiri macam mana suasana malam di Dataran Putrajaya.
“Tempat duduk ini kami dah ‘cop’, memang takkan berganjak ke mana-mana. Tempah hotel semata-mata nak lihat kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan 2025.
“Saya boleh katakan sambutan kali ini memang dahsyat, kalau tak silap tahun ini seawal jam 7 petang orang ramai mula berkumpul,” katanya kepada Sinar Harian.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan bermula seawal 7 pagi Ahad dengan ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diikuti keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Program bakal dimulakan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), lafaz ikrar Rukun Negara dan perarakan pelbagai agensi kerajaan, swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) sejauh 2.1 kilometer (KM).
Bertemakan ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni’, sebanyak 83 kontinjen melibatkan lebih 13,000 peserta, 78 aset kenderaan, tujuh kereta berhias, 116 haiwan dan 21 kumpulan pancaragam bakal memeriahkan perarakan.
Seawal jam 9 malam Sabtu, bas perantara mulai mengangkut pengunjung dari Putrajaya Sentral menuju Pasar Tani Lama Presint 2, berhampiran dataran dengan kekerapan setiap 10 minit.
Sementara itu, penjawat awam, Nariza Nayan, 40, memaklumkan, tujuannya hadir ke sambutan kemerdekaan tersebut kerana ingin merasai pengalaman berkumpul beramai-ramai selain tidak sabar untuk melihat persembahan biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Ia kerana menurutnya, difahamkan sudah lima tahun sambutan kemerdekaan tidak memainkan lagu tema dan kali ini Siti Nurhaliza selaku pembawa acara akan memikul tanggungjawab tersebut.
“Teruja sangat bila dapat tahu Siti nak buat persembahan semasa sambutan hari kebangsaan tahun ini sampaikan saya bawa kipas dan ‘light stick’ beli daripada konsert beliau sebelum ini.
“Ini sudah kali ketiga saya hadiri sambutan kemerdekaan. Walaupun tinggal berdekatan, saya tetap nak datang,” ujarnya.
Begitu juga eksekutif jualan, Koay Boon Kheng, 28, yang sanggup merantau dari Ipoh, Perak dengan menaiki bas sebagai tanda sokongan dan semangat kekitaan menyambut hari kemerdekaan ke-68.

“Ini pengalaman pertama saya dan apa yang boleh saya kongsikan, suasananya sangat positif dan mencerminkan amalan bersatu padu sesama masyarakat.
“Saya bertolak dari Ipoh dengan bas seawal jam 8 malam tadi, kemudian menaiki tren dan tiba di Dataran Putrajaya sekitar jam 12 malam.
“Teringin nak rasa kemeriahan sambutan di peringkat kebangsaan pula,” jelas Boon Kheng.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

