‘Merdeka’ jadi ulang tahun paling bermakna buat warga emas

Mohd Ali dan Ridhwan (tengah) ketika memotong kes sempena meraikan sebahagian kanak-kanak yang menyambut ulang tahun pada 31 Ogos. Gambar kecil: Rahimah
Mohd Ali dan Ridhwan (tengah) ketika memotong kes sempena meraikan sebahagian kanak-kanak yang menyambut ulang tahun pada 31 Ogos. Gambar kecil: Rahimah
A
A
A

MELAKA – Seorang warga emas dari Semabok Dalam di sini menjadi antara 100 individu pelbagai peringkat umur yang diraikan Yayasan Belia Sedunia (WYF) sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat negeri Melaka.

Ibu kepada enam orang anak, Rahimah Abu, 67, berkata, dia bersyukur kerana 31 Ogos bukan sekadar tarikh keramat Hari Kebangsaan negara, malah turut membawa makna istimewa dalam hidupnya kerana ia merupakan ulang tahun kelahirannya.

Menurut ibu tunggal itu, setiap kali tibanya sambutan Hari Kebangsaan, dia akan berasa terharu dan teruja kerana rakyat Malaysia meraikan hari istimewanya bersama-sama.

"Alhamdulillah, setiap tahun saya rasa bertuah kerana tarikh lahir saya disambut seluruh negara.

"Bila dengar laungan ‘Merdeka’ tujuh kali, hati saya sebak kerana terasa seperti doa dan ucapan itu ditujukan juga untuk saya," katanya ketika ditemui pada majlis itu yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Banda Hilir di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi WYF, Datuk Ridhwan Mohd Ali dan Setiausaha Agung WYF, Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Tambah Rahimah, setiap kali menyambut ulang tahun kelahiran, dia tidak pernah mengharapkan hadiah besar, sebaliknya cukup sekadar dapat berkumpul bersama keluarga sambil menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan sama ada secara langsung atau di televisyen.

"Selagi hayat dikandung badan, saya mahu terus bersama keluarga dan melihat generasi muda menghargai erti kemerdekaan.

"Itu hadiah paling bermakna untuk saya,” ujarnya sebak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ridhwan berkata, penganjuran program ini bukanlah semata-mata untuk meraikan ulang tahun kelahiran pada tarikh kemerdekaan, sebaliknya menjadi wadah menyemai semangat patriotisme dalam kalangan semua generasi serta mengeratkan hubungan masyarakat.

Malah katanya, ia diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuk pertunjukan busana bertemakan kemerdekaan, dekorasi kek ulang tahun serta tidak ketinggalan penglibatan kumpulan pengayuh beca yang baru menamatkan misi mengelilingi Semenanjung Malaysia selama dua bulan.

"Salah satu usaha WYF meraikan mereka yang menyambut ulang tahun pada 31 Ogos secara tidak langsung mengajak orang ramai untuk memaknai erti kemerdekaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!