Tokoh Rumah Ngaji Malaysia 2025 korban kerjaya bantu isteri nelayan, petani celik al-Quran

KOTA BHARU - "Tujuh tahun lalu, rumah ngaji dibuka di inap desa saya hanya disertai sekitar 20 wanita terdiri daripada isteri nelayan, petani dan mereka yang tidak pandai mengaji al-Quran kerana tidak berpeluang untuk mempelajarinya."
Demikian perkongsian Dr Sharifah Mastura Syed Mohamad ketika dinobatkan sebagai Tokoh Rumah Ngaji Malaysia 2025 pada program Malaysia #QuranHour 2025 peringkat Kelantan yang berlangsung di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian di sini pada Sabtu.
Kini katanya, kesemua wanita tersebut bukan sahaja pandai membaca al-Quran malah turut menjadi guru kepada lebih 100 anak-anak muda di sini.
Bekas pensyarah dalam bidang komputer di Universiti Sains Malaysia (USM) itu, pengorbanannya bersara pada usia 49 tahun untuk fokus kepada kerja-kerja kebajikan tidak sia-sia apabila melihat hasilnya pada hari ini.
"Usaha untuk memperjuangkan bangsa dan agama direalisasikan dengan menubuhkan Rumah Ngaji Ala di Kubang Golok, Bachok pada 2018.
"Untuk itu saya telah jadikan inap desa milik saya sebagai lokasi untuk mengajar al-Quran," katanya lagi.

Sharifah Mastura memberitahu, sebelum itu beliau mempelajari al-Quran secara serius termasuk Bahasa Arab, serta turut serta mendalami ilmu tadabbur.
Dengan ilmu yang ada termasuk bantuan daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia Bachok, Rumah Ngaji berkenaan menyumbang tenaga pengajarwanita untuk celik al-Quran, jelas wanita berusia 61 tahun itu.
"Sekarang Rumah Ngaji Ala turut disertakan dengan pelbagai aktiviti sunnah seperti memanah, serta beberapa aktiviti riadah lain sesuai dengan minat anak muda
"Ini kerana usaha menarik golongan muda tidak boleh dilakukan secara serius sebaliknya perlu bersesuaian dengan jiwa mereka," katanya.
Tambahnya, rumah ngaji tersebut juga memberi tumpuan kepada asnaf kerana ramai dalam kalangan golongan berkenaan yang tidak berpeluang untuk mempelajari al-Quran dengan baik.
"Kita bukan sekadar mengajar mengaji tapi tadabbur, usrah serta bantu mereka kembangkan ekonomi di samping serlahkan bakat yang ada," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

