Jalur Gemilang penyatu negara bangsa

PUTRAJAYA - Kementerian Perpaduan Negara akan memperluaskan program Malaysiaku Merdeka yang memberi penekanan kepada aktiviti pengibaran Jalur Gemilang sepanjang tahun, Januari hingga Disember.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pelaksanaan ini difokuskan di peringkat akar umbi melalui Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kelab Rukun Negara (KRN), dan Sekretariat Rukun Negara (SRN).
Beliau berkata, dengan pendekatan ini, kita mahu memastikan semangat cintakan negara terus segar dan berakar kukuh dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.
“Sama ada di desa atau di kota, di sekolah atau universiti, di pejabat kerajaan mahupun sektor swasta Jalur Gemilang harus berkibar dengan penuh kebanggaan.
“Biarlah ia menjadi lambang penyatuan rakyat berbilang kaum, budaya dan agama, yang sentiasa teguh berdiri di bawah naungan satu bendera, satu negara, Malaysia tercinta,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Kebangsaan pada Jumaat.

Aaron berkata, sehubungan itu, semua pihak perlu membuang mentaliti bahawa Jalur Gemilang hanya perlu dikibarkan pada bulan kebangsaan semata-mata.
Beliau menegaskan semangat patriotisme tidak mengenal masa, tidak terbatas oleh bulan Ogos, dan tidak terhenti selepas Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia.
“Ia wajar dizahirkan sepanjang tahun, dari Januari hingga Disember, sebagai lambang cinta kita yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air.
“Mengibarkan Jalur Gemilang setiap masa bukan sahaja memperkukuh rasa kebangsaan, tetapi juga menjadi peringatan berterusan bahawa kita semua adalah sebahagian daripada keluarga besar Malaysia yang teguh bersatu di bawah satu bendera,” katanya.
Katanya, amalan itu harus menjadi budaya nasional yang diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya bukan sekadar ritual tahunan, tetapi sebagai sebahagian daripada identiti kebangsaan yang hidup dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.
Tambahnya, Jalur Gemilang yang berkibar bukan sekadar lambang kedaulatan, tetapi juga manifestasi harapan, cita-cita dan kesatuan seluruh rakyat Malaysia.
“Namun begitu, mutakhir ini kita masih menyaksikan beberapa insiden di mana Jalur Gemilang dipasang secara terbalik atau digunakan secara tidak wajar. Jalur Gemilang bukan sekadar kain berwarna, tetapi simbol maruah dan harga diri negara," katanya.
Beliau berkata, sebarang kesilapan dalam memperlakukan Jalur Gemilang adalah perkara serius kerana ia boleh mengundang salah tafsir, menimbulkan sensitiviti rakyat, serta menjejaskan imej dan maruah negara di mata dunia.
“Justeru, saya menyeru agar semua pihak lebih peka, berhati-hati, dan bertanggungjawab dalam mengibarkan Jalur Gemilang. Mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa hormat merupakan manifestasi sebenar patriotisme,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
