MINDEF perkenal IA-ATM santuni anak autisme keluarga WKP

A
A
A

 

MOHD NAZRUL
MOHD NAZRUL

KUALA LUMPUR- Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkenalkan Program Ikthiar Autisme-ATM (IA-ATM) di bawah program Inisiatif Anak Istimewa MADANI sebagai langkah memperkukuh kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan (WKP), khususnya keluarga yang mempunyai anak istimewa.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH), Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) bagi menyantuni anak-anak autisme dalam kalangan keluarga pertahanan.

Inisiatif ini dilaksanakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dalam usaha menyantuni WKP khususnya anak-anak istimewa kategori autisme di bawah amanat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Perutusan Tahun Baharu 2025 yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem kesejahteraan warga pertahanan.

“Pelaksanaan IA-ATM ini turut selaras dengan Pelan Strategik MINDEF 2021–2025, Teras 3 iaitu Pelestarian Kesejahteraan WKP melalui strategi memperkasa pendidikan,” menurut MINDEF menerusi satu kenyataan.

Bagi fasa awal, seramai 20 kanak kanak berusia antara tiga hingga 13 tahun dari PPDK Umi, Kem Terendak dan PPDK Lautan Kasih, Pangkalan TLDM Lumut dipilih mengikuti sesi pembelajaran dan terapi berstruktur.

Setiap peserta menerima sesi pelajaran terapi selama 60 minit bagi tempoh setahun, dikendalikan oleh dua tenaga pakar NASOM terdiri daripada ahli terapi carakerja (OT) dan pegawai psikologi.

Artikel Berkaitan:

Modul yang ditawarkan merangkumi 12 tema baharu dengan pendekatan fleksibel, bagi memastikan keberkesanan terapi mengikut keperluan anak-anak autisme yang disantuni. MINDEF menjelaskan program itu memberi peluang kepada anak autisme mengembangkan potensi diri, di samping membantu tenaga pengajar meneroka kaedah pembelajaran lebih berkesan.

“Selain meningkatkan kefahaman WKP terhadap keperluan anak autisme, inisiatif ini membentuk komuniti yang lebih cakna dan prihatin,” jelas kenyataan itu lagi.

MINDEF turut menegaskan, stigma terhadap kanak-kanak autisme perlu dihapuskan kerana sikap salah faham dan diskriminasi hanya menghalang keluarga daripada mendapatkan sokongan sewajarnya.

“MINDEF cakna usaha meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan keluarga melalui sokongan psikologi, intervensi awal serta sumber maklumat yang tepat,” katanya.

Dalam pada itu, pelaksanaan IA-ATM di PPDK Umi, Kem Terendak bermula pada 14 Julai 2025 hingga 7 Mei 2026, manakala di PPDK Lautan Kasih, Pangkalan TLDM Lumut dijadualkan dari 4 Ogos 2025 hingga 4 Jun 2026.

Program itu dijangka memberi impak besar kepada WKP dengan menyediakan intervensi awal, membentuk komuniti penyayang serta memastikan kebajikan keluarga sentiasa terpelihara.

Kerjasama strategik dengan MINDEF

Sementara itu, NASOM menyifatkan kerjasama dengan MINDEF melalui pelaksanaan IA-ATM sebagai langkah besar yang memberi manfaat langsung kepada keluarga tentera.

Pengerusinya, Julian Wong Ming Vui berkata, sebelum ini keluarga di kem tentera berdepan kesukaran mendapatkan terapi kerana perlu ke bandar besar selain berhadapan kos rawatan swasta yang tinggi.

JULIAN WONG
JULIAN WONG

“Melalui program ini, pakar NASOM termasuk ahli psikologi dan juruterapi carakerja dihantar ke PPDK di Kem Terendak dan Pangkalan TLDM Lumut. Anak-anak menjalani diagnosis awal bagi menentukan sama ada mereka mempunyai autisme atau kecelaruan perkembangan lain sebelum disusun intervensi bersesuaian,” katanya.

Julian menjelaskan, latihan turut diberikan kepada guru PPDK dan ibu bapa supaya intervensi dapat diteruskan di rumah.

“Kami tekankan aspek asas seperti memastikan anak membuat eye contact dan belajar berdikari dalam rutin harian seperti mandi, menggosok gigi dan menguruskan pakaian,” katanya.

Sementara itu, Presiden NASOM, Mohd Nazrul Mohd Amin berkata, komitmen MINDEF membuktikan kesungguhan kerajaan memperkukuh ekosistem kesejahteraan keluarga pertahanan.

MOHD NAZRUL
MOHD NAZRUL

“NASOM ditubuhkan sejak 1987 dan kini mengendalikan 18 pusat intervensi di seluruh negara dengan hampir 500 pelajar.

“Kos operasi kami mencecah RM6 juta setahun dengan 120 kakitangan tetap, justeru sokongan kerajaan dan pihak swasta amat penting untuk memastikan perkhidmatan dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, cabaran utama adalah menyeimbangkan kos operasi dengan kemampuan ibu bapa.

“Yuran sekitar RM450 sebulan boleh membebankan, sebab itu sumbangan dana luar amat diperlukan. Kami berterima kasih kerana pihak swasta sudi menaja melalui program tanggungjawab sosial korporat mereka,” jelasnya.

Mohd Nazrul turut menyambut baik cadangan kerajaan menambah baik dasar berkaitan autisme termasuk mewujudkan tadika khas di setiap negeri.

Ibu bapa perlu kesan tanda awal autisme

Ibu bapa digesa memberi perhatian serius terhadap tanda-tanda awal autisme bagi memastikan anak-anak menerima diagnosis dan intervensi secepat mungkin.

Pakar Pediatrik dan Pakar Perkembangan Kanak-Kanak, Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Charlotte Jane Joseph berkata, kesedaran awal ibu bapa amat penting kerana kelewatan mengenal pasti gejala boleh menjejaskan komunikasi, pembelajaran dan perkembangan sosial kanak-kanak.

“Jika ibu bapa mempunyai kebimbangan terhadap anak, mereka perlu mendapatkan nasihat perubatan untuk penilaian awal kerana pengesanan awal adalah mustahak bagi membantu anak mencapai potensi sebenar,” katanya.

CHARLOTTE JANE
CHARLOTTE JANE

Menurut Dr Charlotte, autisme atau autism spectrum disorder (ASD) merupakan masalah kecelaruan perkembangan kanak-kanak yang dapat dikesan melalui ciri-ciri tertentu seperti kesukaran berkomunikasi, interaksi sosial terbatas serta tingkah laku berulang.

Beliau berkata, gejala tersebut biasanya muncul ketika usia kecil dan walaupun autisme tidak boleh disembuhkan sepenuhnya, terapi yang sesuai mampu membantu kanak-kanak menjalani kehidupan lebih baik.

Katanya, antara tanda awal yang sering ditunjukkan termasuk tidak berkongsi minat dengan penjaga, suka menyendiri, bermain secara solo, atau kurang menggunakan imaginasi dalam permainan.

Selain itu, kanak-kanak juga mungkin menunjukkan tingkah laku berulang seperti mengepakkan tangan, berpusing di tempat sama serta terlalu bertumpu pada sesuatu rutin harian.

Dr Charlotte berkata, kajian antarabangsa menunjukkan autisme semakin meningkat di seluruh dunia.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, seorang daripada 44 kanak kanak dikenal pasti mengalami autisme dengan nisbah empat lelaki bagi setiap seorang perempuan.

“Kanak-kanak dengan autisme berisiko mengalami masalah pembelajaran seperti sukar membaca dan mengeja jika intervensi tidak diberikan awal,” jelasnya.

Dari segi diagnosis, beliau berkata autisme ditentukan secara klinikal tanpa ujian makmal khusus, namun terdapat saringan perkembangan seperti MCHAT dan penilaian spesifik seperti ADOS yang boleh digunakan.

Bagi rawatan, Dr Charlotte menjelaskan tiada ubat khusus untuk menyembuhkan autisme, namun intervensi terapi seperti terapi pertuturan, pemulihan carakerja dan program intervensi awal EIP amat penting.

“Kesedaran masyarakat, khususnya ibu bapa, merupakan langkah pertama yang paling penting untuk memastikan kanak-kanak autisme dapat dibantu seawal mungkin supaya mereka boleh berdikari dan mencapai potensi sebenar,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!