Permohonan Kamarul tangguh bayar RM400,000 kepada Hannah Yeoh ditolak

Dr Kamarul Zaman Yusoff gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM400,000 berhubung saman fitnah terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam buku 'Becoming Hannah’.
Dr Kamarul Zaman Yusoff gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM400,000 berhubung saman fitnah terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam buku 'Becoming Hannah’.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM400,000 berhubung saman fitnah terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam buku 'Becoming Hannah’.

Pesuruhjaya Kehakiman, Avinder Singh Gill memutuskan demikian selepas mendengar hujahan peguam, Sangeet Kaur Deo yang mewakili Hannah dan peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang hadir bagi pihak Kamarul selaku defendan.

Hakim mendapati, tiada keadaan khas yang membolehkan penangguhan pembayaran berkenaan.

Selepas prosiding, Sangeet Kaur berkata, tempat yang tepat untuk membangkitkan isu itu ialah di Bahagian Insolvensi Mahkamah Tinggi atau di peringkat rayuan.

“Berbekalkan keputusan ini, defendan perlu membayar dan kami akan meneruskan prosiding pelaksanaan, termasuk prosiding muflis.

“Mahkamah turut memerintahkan Kamarul membayar kos RM2,500,” katanya yang menambah Ahli Parlimen Segambut dan defendan tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam.

Sementara itu, Mohd Khairul berkata, penghakiman ini telah berkuat kuasa dan mereka telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Pada masa sama, Hannah telah memfailkan prosiding muflis terhadap anak guam,” katanya.

Pada 30 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan, Kamarul Zaman diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM400,000 kepada Menteri Belia dan Sukan itu berhubung dua hantaran fitnah di laman sosial Facebook pada lapan tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Hakim, Datuk Aliza Sulaiman memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang dikemukakan Hannah terhadap Kamarul Zaman selain mendapati pemimpin DAP itu berjaya membuktikan kesnya.

Ia membabitkan ganti rugi am dan teruk, masing-masing sebanyak RM200,000 bagi setiap penerbitan.

Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM80,000 kepada Ahli Parlimen Segambut itu selaku plaintif.

Bagaimanapun, Hakim, Aliza tidak membenarkan permohonan plaintif supaya Kamarul Zaman selaku defendan memohon maaf kerana berpendapat ia tidak akan menjadi ikhlas.

Semasa membaca keputusan berkenaan, beliau berkata, defendan mencadangkan pemimpin DAP selaku plaintif merupakan ancaman kepada Islam dan menggunakan kedudukannya untuk ‘mengkristiankan’ negara.

Hakim berkata, negara berbilang kaum dan agama yang mana isu agama merupakan sangat sensitif, dakwaan tersebut pastinya akan mendedahkan plaintif kepada kebencian, ejekan dan hinaan.

Dalam saman yang difailkan pada 2022, Hannah berkata, Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei 2017 iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.

Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah, Becoming Hannah: A Personal Journey bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.

Dalam pernyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata, kedua-dua hantaran Facebook miliknya itu tidak berunsur fitnah dan beliau mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu kerana bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!