Mahkamah Tinggi tolak permohonan Petronas tangguh saman Petros

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Petronas untuk menangguhkan prosiding saman pemula Petros bagi membatalkan tuntutan Petronas berhubung jaminan bank berjumlah RM7.95 juta. - Gambar hiasan
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Petronas untuk menangguhkan prosiding saman pemula Petros bagi membatalkan tuntutan Petronas berhubung jaminan bank berjumlah RM7.95 juta. - Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menangguhkan prosiding saman pemula Petroleum Sarawak Berhad (Petros) bagi membatalkan tuntutan Petronas berhubung jaminan bank berjumlah RM7.95 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faridz Gohim Abdullah, yang membuat keputusan itu, berkata tiada keadaan khas dan alasan kukuh bagi membolehkan saman pemula itu digantung sementara menunggu keputusan akhir prosiding terdahulu.

Beliau turut menetapkan 11 Jun depan bagi pendengaran saman pemula difailkan oleh Petros sementara menunggu permohonan Petronas untuk mendapatkan kebenaran mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Menerusi saman itu, Petros memohon deklarasi bahawa tuntutan Petronas pada 14 Oktober 2024 berhubung jaminan bank berkenaan adalah tidak wajar, menyalahi undang-undang dan, justeru itu, tidak sah serta terbatal.

Tuntutan itu membabitkan pembayaran bagi gas asli yang dibekalkan oleh Petronas kepada Petros di bawah satu perjanjian pembekalan gas bertarikh 30 Disember 2019.

Pada prosiding sebelum ini, Petros melalui peguamnya, Sim Hui Chang, berhujah bahawa perjanjian itu tidak dapat dilaksanakan susulan pindaan kepada Seksyen 7 Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016 yang digubal pada November 2023, yang menyatakan bahawa tiada orang selain pengagregat gas boleh membekalkan atau mengagihkan gas di Sarawak tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Pengarah Pengedaran Gas.

Oleh itu, Petros berhujah bahawa adalah tidak wajar bagi Petronas menuntut bayaran bagi gas yang dibekalkan secara tidak sah dan bertentangan dengan ordinan berkenaan.

Bagaimanapun, peguam Alex Ngu yang mewakili Petronas menafikan bahawa syarikat itu tertakluk kepada DGO kerana hanya perlu terikat dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!