Dr Kamarul diperintah bayar RM400,000 kerana fitnah Hannah Yeoh

Hannah (tengah) hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan kes saman fitnahnya terhadap Dr Kamarul Zaman.
Hannah (tengah) hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan kes saman fitnahnya terhadap Dr Kamarul Zaman.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM400,000 kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, berhubung dua hantaran fitnah di laman sosial Facebook, lapan tahun lalu.

Hakim, Datuk Aliza Sulaiman, memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang dikemukakan Hannah terhadap Kamarul Zaman, selain mendapati pemimpin DAP itu berjaya membuktikan kesnya.

Ia membabitkan ganti rugi am dan teruk, masing-masing sebanyak RM200,000 bagi setiap penerbitan.

Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM80,000 kepada Ahli Parlimen Segambut itu selaku plaintif.

Bagaimanapun, Hakim, Aliza, tidak membenarkan permohonan plaintif supaya Kamarul Zaman selaku defendan memohon maaf kerana berpendapat ia tidak akan menjadi ikhlas.

Semasa membaca keputusan penghakimannya, Hakim, Aliza berkata, plaintif berjaya membuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa kedua-dua penerbitan itu bersifat fitnah.

Menurutnya, ini kerana ia menggambarkan beliau sebagai ancaman kepada Islam dan menyalahgunakan kedudukannya untuk menyebarkan ajaran Kristian di Malaysia.

“Dalam masyarakat berbilang agama seperti Malaysia, tuduhan sebegitu boleh mendedahkan seseorang kepada kebencian, cemuhan dan penghinaan.

“Defendan menggunakan pembelaan justifikasi, komen berpatutan dan keistimewaan bersyarat, namun, mahkamah mendapati tiada satu pun pembelaan itu berjaya dibuktikan.

“Plaintif telah mengemukakan dakwaan niat jahat dan berjaya membuktikan, berdasarkan imbangan kebarangkalian, bahawa defendan bertindak dengan niat jahat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding ini, Kamarul Zaman tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguamnya, peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz sementara peguam, Sangeet Kaur Deo, hadir bagi pihak Hannah.

Dalam saman yang difailkan pada 2022, Hannah berkata, Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.

Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah, Becoming Hannah: A Personal Journey, bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.

Dalam pernyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata kedua-dua hantaran Facebooknya tidak berunsur fitnah dan beliau mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu kerana bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!